Pulau Pinang mahu PAAB mempercepatkan Projek Pemindahan Tadahan Hujan Antar Negeri Perak - Pulau Pinang

Pulau Pinang mahu Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mempercepatkan Projek Pemindahan Tadahan Hujan Perak-Pulau Pinang (Sungai Perak-Sungai Ijok-Sungai Kerian) untuk memastikan negeri ini tidak akan menghadapi risiko kemungkinan kekurangan air selepas 2020. Pengerusi PAAB, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali telah memberi jaminan bahawa negeri-negeri di Malaysia yang telah menandatangani perjanjian penstrukturan semula air dengan PAAB diberikan dana untuk membiayai projek-projek berkaitan air terlibat.

Sebagai rekod, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan untuk memudahkan kemasukan Pulau Pinang keNational Water Services Industry Restructuring Initiative (NWSIRI) pada 2 Jun 2011. PAAB adalah pemilik aset air negara dan pengurus di bawah NWSIRI.

Cadangan Skim Pemindahan Air Sungai Perak telah diluluskan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) pada 30 Jun 2012 dan disahkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dan kini menunggu kelulusan pelaksanaan dari Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Pada masa ini, 80% daripada sumber air di Pulau Pinang berasal dari Sungai Muda dan ini hanya dapat memenuhi permintaan air di Pulau Pinang sehingga tahun 2020. Terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan skim pemindahan air antara negeri bagi menjamin bekalan air masa hadapan, mengurangkan pergantungan kepada satu sumber iaitu Sungai Muda dan ketidaktentuan yang disebabkan oleh aktiviti pembalakan baru-baru ini di dalam kawasan tadahan air Kedah.

Cadangan Pemindahan Air Mentah akan dijalankan dengan mengepam air mentah dari Sungai Perak melalui terowong baru melalui Sungai Ijok dan Sungai Kerian yang akan dibina di kawasan tanah tinggi yang memisahkan tadahan air Sungai Perak dan Sungai Kerian. Air mentah kemudian disalurkan dari Sungai Kerian berhampiran takungan sedia ada di negeri Pulau Pinang untuk rawatan berikutnya pada Loji Rawatan Air Kerian yang dicadangkan untuk membekalkan air bersih bagi Negeri Pulau Pinang.

Tidak seperti Sungai Muda, di mana air mentah diperoleh daripada belah sempadan Pulau Pinang, air Sungai Perak perlu dibayar kepada Negeri Perak. Bayaran air mentah kepada Negeri Perak adalah perlu dan sah memandangkan kerana Sungai Perak berada dalam sempadan Negeri Perak, tidak seperti Sungai Muda yang mengalir melalui Pulau Pinang.

Projek ini melibatkan air mentah dan infrastruktur rawatan air. Dalam model penyusunan semula bekalan air - infrastruktur air mentah akan dibiayai melalui geran daripada Kerajaan Persekutuan manakala infrastruktur rawatan air akan dibiayai oleh dana PAAB. Jumlah anggaran kos yang terlibat adalah RM2 bilion dan akan mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan.

Projek ini dijangka menyediakan penyelesaian yang menyeluruh terhadap keperluan permintaan air masa depan bagi pemintaan air bersih dan pengairan yang diperlukan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Lembaga Air Perak (LAP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga tahun 2050.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang