Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminta Kerajaan Persekutuan untuk membuat tender semula secara terbuka ke atas penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang

Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminta Kerajaan Persekutuan untuk membuat tender semula secara terbuka ke atas penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang kerana kontrak dengan Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd. masih belum dimuktamadkan hampir d(2) tahun selepas ia diberikan.

Ini adalah berikutan dengan Jawapan Lisan yang diberikan oleh Menteri Pengangkutan di Dewan Rakyat pada 2 Julai 2013 seperti yang berikut:

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN

DARIPADA : TUAN LIM GUAN ENG (BAGAN)

TARIKH : 2 JULAI 2013 (SELASA)

SOALAN : 50

Tuan Lim Guan Eng (Bagan) minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan status projek mendalamkan dasar laut RM353 juta dan program penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang dengan butir-butir tender, adakah ia dijalankan secara terbuka atau akan ditender semula.? Apakah status menaiktaraf perkhidmatan feri serta pembinaan semula projek RM43 juta Tanjung City Marina yang tenggelam dalam laut?

Penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang melalui pemilikan ekuiti dalam syarikat Penang Port Sdn. Bhd. telah dilaksanakan melalui tender terhad oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS). Bagi maksud itu, hanya syarikat yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam menguruskan operasi pelabuhan serta mempunyai keupayaan pelaburan dan kewangan dijemput untuk menyertai tender tersebut. Selain itu, rundingan dengan syarikat yang berjaya sedang dimuktamadkan. Oleh yang demikian, persoalan untuk membuka tender semula adalah tidak berbangkit.

Berkenaan dengan projek mendalamkan Pelabuhan Pulau Pinang serta semua aspek mengenai perkhidmatan feri, ianya menjadi tanggungjawab syarikat yang akan mengambil alih pengurusan Pelabuhan Pulau Pinang kelak.

Mengenai kenyataan YB Bagan bahawa Tanjung City Marina telah tenggelam dalam laut, adalah tidak benar. Kejadian hujan ribut serta angin kencang yang luar biasa pada tahun 2011 yang lepas, telah menyebabkan banyak kerosakan kepada pontoon-pontoon marina. Namun, prasarana di bahagian darat Tanjung City Marina tidak terjejas. Walau bagaimanapun, kerja-kerja baikpulih terhadap pontoon-pontoon tersebut telah dilaksanakan tetapi kerosakan masih berulang. Oleh yang demikian, tindakan telah diambil oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang untuk mendaratkan pontoon yang rosak dan hanyut. Ianya bagi mengelakkan kemalangan kepada kapal-kapal yang lalu di kawasan tersebut. Selain itu, usaha membaikpulih serta memasang semula pontoon-pontoon di kawasan tersebut juga sedang dilaksanakan.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan