Apa munasabahnya Menteri Dalam Negeri mengatakan bahawa Suruhanjaya Siasatan Di Raja untuk menyiasat PDRM mengadakan cadangan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan untuk mewujudkan IPCMC?

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus mengejutkan rakyat Malaysia dengan kenyataan dan logik peliknya bahawa mewujudkan IPCMC akan mengakibatkan pertindihan bidang kuasa dan bertentangan dengan konsep keadilan. Apa munasabahnya Menteri Dalam Negeri mengatakan bahawa Suruhanjaya Siasatan Di Raja untuk menyiasat Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mengadakan cadangan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan untuk mewujudkan IPCMC, sedangkan Pengerusi Suruhanjaya itu sendiri ialah Tun Mohamed Dzaiddin Bin Haji Abdullah, Ketua Hakim Negara ke-9.

Ini adalah pertama kali sejak cadangan tersebut dibuat pada tahun 2005 bahawa IPCMC diisytihar tidak berperlembagaan oleh Kerajaan Persekutuan BN, satu alasan yang amat lemah untuk menolak penubuhannya. Tuduhan liar Zahid adalah satu penghinaan kepada reputasi hakim tertinggi di Malaysia serta mempersoalkan kemahiran asas undang-undangnya kerana membuat cadangan yang bertentangan dengan Perlembagaan.

Zahid bukanlah seorang peguam, beliau sepatutnya meminta Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail supaya memajukan hujah-hujah perundangan tentang bagaimana penubuhan IPCMC itu bertentangan Perlembagaan. Sekiranya Zahid gagal membuktikan tuduhannya, beliau patut memohon maaf kepada Tun Mohamed Dzaiddin kerana menghina kepakaran undang-undang beliau.

Tuduhan liar seperti yang dibuat Menteri Dalam Negeri demi menegakkan benang yang basah serta untuk mempertahankan sesuatu yang tidak dapat dipertahankan apabila berhadapan dengan bukti-bukti dan fakta jelas, adalah pendekatan yang digunapakai Kerajaan Persekutuan BN sejak sekian lama. Apabila Pengerusi Suhakam Hasmy Agam menentang cadangan mengembalikan Ordinan Darurat (EO), seorang pegawai polis yang kecewa, SAC Mohad Nazir secara terbuka membantah Hasmy dengan mengatakan bahawa "mencegah lebih baik dari mengubati".

Hasmy telah memberikan contoh tepat bahawa Pasukan Polis Berkuda Di Raja Kanada, Scotland Yard, Interpol dan pasukan polis Los Angeles serta Victoria Police sebagai pasukan polis yang berkesan dan baik tanpa memerlukan EO. Begitu pun, Mohad menjawab bahawa Amerika Syarikat pun mempunyai Akta Patriot dan penjara Guantanamo Bay bagi tujuan keselamatan dalam negeri. Mohad sebenarnya salah kerana undang-undang tersebut di Amerika Syarikat adalah bertujuan memerangai pengganas dan bukan untuk memerangi jenayah.

Kejahilan Mohad ini tidak boleh disalahkan kerana Menteri Dalam Negeri pun sama bersalah, justeru membenarkan kata pepatah bahawa ilmu yang sedikit itu amat berbahaya. Namun Ahmad Zahid tidak boleh senang-senang dimaafkan kerana terus-menerus memburukkan reputasi jabatannya apabila gagal mendaulatkan undang-undang, malah sebaliknya pula memilih untuk melabel apa sahaja cadangan yang mahu ditolak BN sebagai melanggar Perlembagaan.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan