Masanya sudah tiba untuk semua parti politik dan Kementerian Pendidikan untuk memberi tumpuan kepada kenapa pelajar yang layak tidak mendapat tempat di universiti tempatan berasaskan merit

Selepas 56 tahun Merdeka, masanya sudah tiba untuk semua parti politik dan Kementerian Pendidikan untuk tidak lagi memberi tumpuan kepada kaum tetapi kenapa pelajar yang layak tidak mendapat tempat di universiti tempatan berasaskan merit. Menafikan hak pelajar-pelajar yang berkelayakan, termasuk mereka yang mendapat CGPA maksima 4.0 daripada posisi di universiti awam, bukan sahaja sebuah pembaziran bakat bernilai malah akan menghalau mereka yang terbaik dan paling cerdik ke luar negara.

Ini hanya akan memburukkan lagi aliran keluar bakat dari dalam negara, menyusahkan Talent Corporation untuk menjana keuntungan bakat serta memudahkan negara lain seperti Singapura untuk merampas bakat terbaik yang kita ada. Kementerian Pendidikan mesti menghentikan polisi pendek akal yang bukan sahaja mengakibatkan Malaysia ketinggalan malah memberi tekanan mental kepada anak-anak muda yang dinafikan masa depan mereka, setiap tahun. Bagaimana kita mahu mempersiapkan generasi muda untuk masa depan, dan masa depan untuk anak muda jika kita membiarkan ketidakadilan sedemikian.

DAP tidak bersetuju dengan obsesi tahunan peringkat nasional untuk melakukan profil perkauman oleh kedua-dua MCA dan MIC. Keduanya berhujah bahawa isu penafian tempat di universiti hanya berdasarkan perspektif kaum sedangkan ia sepatutnya dilihat dari aspek peluang saksama, kecemerlangan dan prestasi. DAP percaya bahawa kedua-dua parti politik sengaja meneruskan perpecahan kaum setiap tahun bagi mencipta sindrom kebergantungan demi menjadikan kedua-dua MCA dan MIC masih relevan, berbanding menginstitusikan syarat-syarat kemasukan yang telus.

MCA telah menunjukkan bahawa meskipun kemasukan pelajar ke universiti awam telah meningkat tahun ini berbanding tahun lalu, pelajar Cina yang berjaya hanyalah 19% yakni lebih rendah berbanding 23% seperti tahun-tahun lalu. Daripada 41,573 pengambilan tahun ini, hanya 7,913 adalah pelajar berketurunan Cina berbanding tahun lalu di mana mereka berjumlah 8,986 orang daripada jumlah besar 38,549 serta 9,457 daripada jumlah pengambilan 41,267 pada tahun 2011.

MIC malah mempersoalkan janji Perdana Menteri Najib Razak untuk menepati mesej "nambikei"nya kepada komuniti India apabila pelajar India hanya diberi 4% tempat di universiti awam. MIC menekankan bahawa sepatutnya terdapat 3,000 dan bukan 1,800 tempat untuk kaum India dia unversiti pada tahun ini, berikutan janji Perdana Menteri untuk menambah tempat di pusat matrikulasi daripada 300 kepada 1,500.

DAP percaya bahawa mesti ada peluang saksama bagi mereka dengan latarbelakang yang kurang bernasib baik untuk masuk ke universiti awam. Tidak ada sebab kenapa mereka yang mendapat CGPA 4.0 dinafikan tempat di universiti untuk bidang yang mereka mahukan demi memberikan peluang saksama.

Kementerian Pendidikan mesti bertanggungjawab penuh ke atas kegagalan mereka untuk berlaku adil dan memastikan mereka yang layak mendapat tempat yang sepatutnya. Masa depan generasi muda kita adalah terlalu penting untuk dipolitikkan atau dimainkan sebagai sebuah permainan tahunan. Dengan hilangnya keyakinan umum terhadap profesionalisme Kementerian Pendidikan, sebuah badan bebas seperti sebuah firma pengauditan antarabangsa wajar dilantik bagi memastikan tidak ada pelajar berkelayakan yang ketinggalan.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan