Mengapa perlu tunggu dua tahun masih tidak ada pendakwaan ke atas keganasan terhadap pemberita dan juga ancaman ke atas keselamatan Ketua Menteri Pulau Pinang?

Mengapa perlu tunggu dua tahun masih tidak ada pendakwaan ke atas keganasan terhadap pemberita dan juga ancaman ke atas keselamatan Ketua Menteri Pulau Pinang? Sikap berpilih dan double-standard pihak Pendakwa Raya dan Kerajaan Persekutuan adalah jelas bila dalam kes tertentu terhadap pemimpin pembangkang, pendakwaan boleh dibuat dalam masa dua bulan, tetapi dalam kes kesalahan di mana keganasan dan kekerasan digunakan oleh penyokong BN, ia bukan sahaja dilambat-lambatkan malah mungkin ditutup begitu sahaja dengan chop "NFA"(No Further Action ).

Ini adalah dibuktikan dengan jawapan bertulis di Parlimen oleh Menteri Dalam negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada saya seperti berikut:

Jawapan:

Untuk Makluman Ahli Yang Berhormat, sepanjang tahun 2011 hingga 2013, terdapat 6 laporan Polis yang telah di buat terhadap Perkasa. Laporan-laporan Polis serta tindakan yang telah diambil seperti berikut:

  1. Sungai Nibong Report 4174/11, Sek 323 Kanun keseksaan

    Kejadian pada 1hb Julai 2011 di Jambatan Pulau Pinang, di mana seorang pemberita ketika sedang membuat liputan perhimpunan anti Bersih telah dipukul oleh beberapa lelaki dipercayai ahli Perkasa.

    Siasatan telah selesai dijalankan dan kertas siasatan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa raya untuk nasihat dan keputusan.

  2. Jalan Patani Repot 1068/11, Sek 27(5) Akta Polis 1967

    Perhimpunan tanpa permit yang dianjurkan oleh Perkasa pada 30hb Nov 2011 di Komtar, Pulau Pinang untuk menyerahkan memorandum kepada YB Ketua Menteri Pulau Pinang.

    Siasatan lagi diteruskan bagi mencari maklumat tambahan sebelum dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa raya.

  3. Lebuh Pantai Repot 472/12, Sek 502 Kanun Kesesakan

    Kejadian pada 26hb Feb 2012 di Dewan Pidato, Padang Kota Lama, Pulau Pinang ketika YB Ketua Menteri Pulau Pinang sedang berucap berkaitan isu Lynas, suspek dikatakan telah mencaci dan mengugut beliau.

    Penyiasatan telah selesai dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa raya pada 19/7/12 dan kes telah NFA.

  4. Jelutong Report 3688/12, Seksyen 143 Kanun Keseksaan

    Kejadian pada 10hb Mei 2012 di hadapan kediaman YB Ketua Menteri Pulau Pinang di mana sekumpulan lelaki dipercayai ahli Perkasa telah bertindak menuntut YB Ketua Menteri bertindak Adil.

    Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa raya dan kes telah NFA

  5. Telok Bahang Repot 608/12, Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

    Kejadian kekecohan berlaku pada 30hb Jun 2012, di pasar Telok Bahang, Pulau Pinang apabila seorang ahli perkasa telah dihalang untuk menghampiri YB Ketua Menteri Pulau Pinang oleh orang ramai yang sedang mengiringi beliau.

    Kertas siasatan telah dikembalikan semula oleh pejabat Peguam Negara untuk menjalankan siasatan lanjut dan melengkapkan siasatan.

  6. Bukit Tengah Repot 856/13, Seksyen 298A Kanun Keseksaan

    Kejadian pada 21hb Jan 2013 ketika di Konvensyen Perkasa di UiTM Pulau Pinang, di mana Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali di dalam Sidang Media didakwa menyeru umat Islam membakar Bible yang mengandungi kalimah Allah.

    Kertas siasatan telah dikembalikan semua oleh Pejabat Peguam Negara untuk meneruskan dan melengkapkan siasatan.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan