LKIM harus menjelaskan kepada rakyat apakah kerugian selepas gagalnya projek MITP bernilai RM243.38 juta di Batu Maung

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) harus menjelaskan kepada rakyat apakah kerugian selepas gagalnya projek Malaysian International Tuna Port Sdn Bhd (MITP) bernilai RM 243.38 juta di Batu Maung. Sebagai projek usahasama LKIM dengan Bindforce Sdn Bhd untuk membina MITP yang bernilai RM243.38 juta, tidak mungkin LKIM tidak mengalami sebarang kerugian selepas ia ditamatkan.

Sungguhpun MITP telahpun diluluskan pada 2004, hanya ada dua bangunan kecil dibina dalam tanah seluas 25 ekar daripada perjanjian konsesi 32 tahun. Laporan Ketua Audit Negara 2009 menimbulkan soalan apakah projek yang dikatakan projek usahasama swasta, tetapi kerajaan pula terpaksa menanggung kerugian akibat mengeluarkan surat sokongan "letter of undertaking".

Bindforce memegang ekuiti 60 peratus manakala LKIM memegang 40 peratus dengan nilai RM16.9 juta, yang didakwa oleh LKIM tidak dibayar dengan wang tetapi menerusi nilai tanah. Macam mana kerajaan persekutuan tidak mengalami sebarang kerugian bila projek ini dibiayai oleh MITP melalui pinjaman RM240 juta dalam bentuk bon dari OSK Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad. Bon RM240 juta ini mendapat surat sokongan kerajaan persekutuan.

Keadaan ini sama dengan skendal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang di mana telahpun diputuskan bahawa surat sokongan oleh kerajaan persekutuan sama dengan jaminan kerajaan. Oleh itu kerajaan Persekutuan juga sama-sama menanggung bayaran faedah dan jumlah RM85 juta yang digunakan daripada jumlah bon RM240 juta untuk kos pembinaan MITP. Kini pembinaan MITP yang gagal dan telahpun dibatalkan hanya pada tahap 18.5%.

Sehubungan itu, OSK Investment Bhd yang keluarkan bon juga turut menuntut sejumlah RM208.62 juta termasuk faedah. Dengan milikan 40 peratus ekuiti, adakah kerajaan terpaksa menanggung RM83.45 juta dari tuntutan OSK tersebut? Kesemua ini tidak dinyatakan dalam jawapan bertulis Parlimen kepada saya oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani seperti berikut:-

PARLIMEN MALAYSIA

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

NO. SOALAN : 136

PERTANYAAN : BERTULIS

DARIPADA : TUAN LIM GUAN ENG (BAGAN)

SOALAN:

Minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan sebab projek Pelabuhan Antarabangsa Tuna di Batu Maung, Bayan Baru bernilai RM243.38 juta yang terbengkalai dan kerugian yang dialami. Jelaskan status perjanjian antara syarikat konsesi Malaysia International Tuna Port Sdn. Bhd. (MITP) dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (semasa masih menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani).

JAWAPAN:

Malaysia International Tuna Port Sdn. Bhd. (MITP) merupakan syarikat usahasama antara Bindforce Sdn. Bhd. dengan pegangan ekuiti sebanyak 60 peratus dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi pihak Kerajaan sebanyak 40 peratus bagi membangunkan kompleks perikanan tuna secara penswastaan di Batu Maung, Pulau Pinang. Konsesi ini telah diluluskan oleh Kerajaan pada 22 September 2004 dan Perjanjian Konsesi penswastaan secara Bina-Operasi-Pindah selama 32 tahun termasuk tempoh pembinaan selama 2 tahun telah ditandatangani antara LKIM dan MITP pada 16 Disember 2004. Perjanjian Konsesi ini hanya melibatkan LKIM dan MITP sahaja dan tidak melibatkan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pembiayaan bagi projek Pelabuhan Antarabangsa Tuna Malaysia adalah ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi. Sementara itu, perolehan ekuiti LKIM di dalam MITP adalah dibuat secara 'set-off' daripada nilai pemajakan tanah-tanah dalam kawasan konsesi yang berjumlah sebanyak RM16,873,000.00. Tiada pelaburan melalui suntikan modal dilakukan oleh LKIM.

Pada 12 Jun 2010, LKIM telah mengambil alih secara sementara operasi Pelabuhan Antarabangsa Tuna Malaysia berkenaan setelah mendapati syarikat konsesi iaitu MITP tidak berkemampuan untuk meneruskan pengoperasian pelabuhan tersebut.

Pada 17 Ogos 2011, Kerajaan telah bersetuju supaya Perjanjian Konsesi di antara LKIM dan MITP ditamatkan dan LKIM mengambil alih semula pengurusan dan operasi pelabuhan berkenaan. Selaras dengan keputusan tersebut, pada 9 Januari 2012, LKIM telah mengeluarkan notis penamatan Perjanjian Konsesi dengan MITP dan telah mengambil alih sepenuhnya pengurusan dan operasi pelabuhan tersebut.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang