Kerajaan Persekutuan BN menipu rakyat dengan menafikan ia mengamalkan diskriminasi cukai 'Satu Negara Dua Sistem'

Kerajaan Persekutuan BN menipu rakyat dengan menafikan ia mengamalkan diskriminasi cukai "satu negara dua sistem" yang hanya memberikan insentif cukai 15% kepada pakar warga asing dan rakyat Malaysia yang pulang di kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar sahaja dan bukan seluruh Negara. Tidak ada lojik mengapa ia tidak boleh dinikmati di Sabah, Sarawak dan negeri lain. Bukankah Sabah, Sarawak serta negeri lain perlukan juga pakar-pakar berpengetahuan?

Dalam satu jawapan bertulis kepada saya di Parlimen, YAB Menteri Kewangan menyatakan bahawa cukai insentif 15% ini adalah perlu untuk bersaing dengan kadar cukai rendah di negara jiran seperti Singapura(15%) dan Hong Kong(17%). Beliau menekankan cukai insentif 15% bukanlah "satu sistem dua Negara" kerana ia hanya dinikmati untuk tempoh 5 tahun dan akan bayar kadar 25% selepas itu.

Jawapan ini menunjukkan bahawa cukai insentif semata-mata untuk Iskandar berlaku tidak adil kepada negeri-negeri lain seakan-akan negeri-negeri tersebut termasuk Sabah dan Sarawak bukanlah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. Jawapan berikut:-

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN

DEWAN RAKYAT, MALAYSIA

DARIPADA : Y.B. TUAN LIM GUAN ENG

PERTANYAAN : LISAN

TARIKH : 15.07.2013

Y.B. TUAN LIM GUAN ENG (BAGAN) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sama ada cukai peribadi 15% di zon Iskandar sahaja untuk Returned Expatraite Programme (REP) akan diperluaskan di seluruh negara dan juga kepada pakar-pakar tempatan yang tidak berhijrah ke luar negeri agar tidak ada kejanggalan satu negara dua sistem. Berapakan pakar yang pulang di bawah REP dan dalam kepakaran apa.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat, Program Kepulangan Pakar (Returning Expert Programme {REP}) telah disediakan oleh Kerajaan kepada golongan profesional Malaysia yang berkhidmat di luar negara supaya pulang berkhidmat di dalam negara. Ini merupakan insentif bagi memudahcara (facilitation) kepulangan profesional Malaysia. Program REP adalah satu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan sumber modal insan berkemahiran tinggi yang mencukupi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir bagi melaksanakan program pembangunan negara di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP). Untuk penjelasan, insentif REP adalah terbuka kepada pakar yang balik ke Malaysia dan bekerja di negara dan tidak dihadkan kepada mana-mana negeri. Selain itu, insentif cukai 15% juga ditawarkan kepada pekerja berpengetahuan warga asing dan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia yang dapat menambah nilai kepada lapan sektor perkhidmatan di Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia. Objektif insentif ini adalah untuk menarik tenaga pakar asing dan tempatan untuk menetap dan bekerja di Iskandar Malaysia supaya dapat bersaing dengan bandaraya-bandaraya pesaing kadar cukai efektif seperti negara jiran Singapura (15%) dan Hong Kong (17%). Ianya juga selaras dengan hasrat Iskandar Malaysia menjadi bandaraya metropolis yang mampan dan dinamik pada tahun 2025 di bawah Rancangan Pembangunan Komprehensif untuk Wilayah Ekonomi Johor Selatan.

Insentif cukai 15% untuk REP telah ditawarkan untuk menambahkan bilangan cukai modal insan berkemahiran tinggi di Malaysia. Langkah ini penting untuk menyokong pertumbuhan pelaburan terutamanya ke arah merealisasikan peralihan industri ke aktiviti rantaian nilai tinggi. Dari segi kehilangan hasil cukai, ia adalah terhad memandangkan individu yang memohon untuk REP sedang bekerja di luar negara dan belum lagi membayar cukai pendapatan di Malaysia. Tambahan pula, insentif cukai hanya ditawarkan untuk permohonan yang diterima sehingga bulan Disember 2020 untuk mempercepatkan kepulangan pekerja berpengetahuan ke Malaysia agar dapat turut serta memajukan dan membantu Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi dan negara maju. Insentif cukai diberikan sebagai bantuan peralihan (transition) yang terhad kepada pakar berkenaan di mana tempoh yang dinikmati hanya lima tahun sahaja kepada seorang pakar. Setelah tamat tempoh ini, pakar berkenaan akan membayar cukai pada kadar yang sama dengan lain-lain pakar yang telah berkhidmat di Malaysia. Dengan itu, tidak timbul dakwaan dua sistem di bawah program REP. Kerajaan tidak bercadang memperluaskan insentif ini kepada pakar yang telah berada di Malaysia kerana akan melibatkan kehilangan hasil cukai memandangkan mereka merupakan pembayar cukai sedia ada. Sekiranya peluasan dibuat, ia tidak memberi impak kepada penambahan bilangan modal insan berkemahiran tinggi di Malaysia yang menjadi objektif insentif ini.

Program ini telah menerima respon yang amat menggalakkan. Ini dapat dilihat dari segi peningkatan bilangan profesional yang telah diberi kelulusan insentif REP dari tahun ke tahun. Pada tahun 2011, bilangan profesional yang balik adalah 680 orang manakala dalam tahun 2012, seramai 923 orang telah mendapat kelulusan. Pada tahun 2013 pula, seramai 419 orang telah mendapat kelulusan setakat Mei 2013.

Bidang-bidang kepakaran yang diceburi pula terdiri daripada sektor di bawah bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) khususnya sektor perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan, minyak, gas dan tenaga, kandungan komunikasi dan infrastruktur dan elektrik dan elektronik. Antara golongan yang kembali berkhidmat termasuklah para profesional yang berkualiti tinggi yang kini telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat tersenarai serta sebagai anggota pengurusan terkanan di syarikat multinasional.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang