Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius keadaan jerebu yang kini kembali melanda Pulau Pinang

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius keadaan jerebu yang kini kembali melanda Pulau Pinang dengan tahap pemandangan yang kian merosot.

Meskipun Pulau Pinang belum mencapai paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berbahaya seperti yang melanda Malaysia sebulan yang lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin meminta rakyat supaya lebih berhati-hati dalam menjalankan urusan harian mereka khususnya dalam aspek penjagaan kesihatan.

Kerajaan Negeri akan membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan masalah jerebu dalam Mesyuarat Majlis Perundingan dan Ketenteraman Awam Negeri Pulau Pinang pada hari esok untuk menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya keadaan jerebu semakin meruncing.

Orang awam dinasihati supaya mengurangkan aktiviti luar dan minum lebih banyak air bagi memastikan tahap kesihatan mereka tidak terjejas.

Kerajaan Negeri berharap Kerajaan Persekutuan Malaysia akan lebih tegas dengan Indonesia dalam menangani isu pembakaran terbuka ini.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang