DAP kecewa dengan cara tergesa-gesa Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan dalam menutup kes kontroversi Sekolah Kebangsaan Seri Pristana

DAP kecewa dengan cara tergesa-gesa Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan dalam menutup kes kontroversi pelajat bukan Islam disuruh menggunakan bilik mandi sebagai kantin sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana di Sungai Buloh di dalam bulan puasa tanpa memberi sebarang penjelasan kepada umum. Ibu bapa kepada 1,300 pelajar di sekolah tersebut, termasuk 28 pelajar bukan Islam, mahukan penjelasan terhadap fakta dan kenyataan yang sangat tidak konsisten dan bercanggah berkenaan kejadian terbabit. Seluruh rakyat Malaysia juga mahukan kebenaran didedahkan sebelum mereka boleh yakin dengan dakwaan Kamalanathan bahawa ini bukanlah isu berkaitan kaum atau agama.

Sifat tergesa-gesa yang sedemikian dalam menyelesaikan kes kontroversi tersebut akan dilihat sebagai usaha untuk menutup kebenaran, kecuali jika Kamalanathan boleh menjelaskan kenapa ibu bapa tidak dimaklumkan sejak Mac tahun ini bahawa kantin akan dipindahkan ke bilik mandi atas sebab kerja baik pulih. Tambahan pula, kenapa tidak ada tanda-tanda kerja baik pulih terhadap kantin terbabit? Jika kerja baik pulih telah pun selesai, kenapa pula kantin tersebut tidak dibuka semula? Bagaimana pula Kamalanathan gagal menjawab persoalan ibu bapa tentang bagaimana anak-anak mereka disuruh makan di kantin sementara di bilik mandi itu dua hari selepas Ramadan bermula?

Kamalanathan berkata bahawa beliau hanya menyelesaikan masalah dengan memindahkan tempat makan keluar daripada bilik mandi tersebut. Menyelesaikan masalah adalah satu perkara, tetapi mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab juga adalah sama pentingnya bagi memastikan insiden sedemikian tidak berulang lagi. Umum perlu mengetahui bagaimana insiden sedemikian boleh berlaku kerana adalah sangat memalukan bagi kanak-kanak untuk terpaksa makan di bilik mandi yang dijadikan kantin sementara.

Mesej yang jelas mesti disampaikan supaya penjawat awam dapat menghormati sensitiviti dan hak semua masyarakat. Kegagalan untuk berbuat demikian hanya akan menambahkan persepsi negatif bahawa sensitiviti dan hak orang bukan Islam boleh diinjak-injak tanpa sebarang hukuman. Persepsi negatif sedemikian dengan mudah boleh bertukar menjadi rasa dimangsakan oleh orang bukan Islam. Kegagalan Kerajaan Persekutuan BN untuk menghukum pemimpin Perkasa yang tidak pun meminta maaf atas seruannya yang rasis dan melampau untuk membakar kitab Bible dan mengeluarkan kenyataan anti-Hindu, sementara pasangan muda Alvivi didakwa di mahkamah kerana menghina Islam meskipun telah meminta maaf, jelas sekali tidak membantu untuk menolak dakwaan wujudnya sikap "double standard".

DAP amat sedih dengan gambar pihak polis dengan senjata berat berkawal di luar sekolah di Sungai Buloh itu, menghalang ibu bapa dan rakan-rakan mereka yang berang. Adakah sekolah-sekolah di Malaysia mesti turun ke tahap ini di mana anggota polis bersenjata diperlukan untuk berkawal di luar sekolah bukan untuk melindungi sekolah daripada penjenayah tetapi daripada ibu bapa yang marah menuntut jawapan dan keadilan?

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Bagan