Pemuda UMNO dan Utusan Malaysia hipokrit dan mengamalkan double standard

Utusan Malaysia dan Pemuda UMNO terus bermain dengan api perkauman dan pembohongan demi memecahbelah negara dengan tembok-tembok kebencian dan ketakutan dengan mempersoalkan kelulusan sebuah filem berbahasa Cina 'The New Village' yang mereka dakwa sebagai memuliakan komunisme. Kedua-duanya mengkritik filem tersebut kononnya memutarbelit fakta sejarah dan menghasut masyarakat dengan mengagungkan Parti Komunis Malaya sebagai wira, sedangkan pihak British diperlihatkan sebagai penjajah kolonial, tentera dan polis dijadikan musuh dan 'orang jahat' yang mesti dihancurkan.

Saya tidak mahu memberi komen tentang filem tersebut sebab saya belum menontonnya. Namun soalan yang mesti diberi perhatian oleh kedua-dua Utusan Malaysia dan Pemuda UMNO jika mereka ikhlas menentang komunisme, kenapa mereka tidak membantah ikatan diplomatik yang begitu rapat antara Malaysia dan negara komunis seperti China, Cuba dan Vietnam? Tidak pernah pula kedua-dua pihak mengkritik bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor kerana menandatangani perjanjian damai bagi pihak Malaysia dengan Parti Komunis Malaya pada 2 Disember 1989.

Tambahan kepada itu, kenapa kedua-duanya bisu apabil Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Pemuda BN, mengumumkan penubuhan sekretariat tetap pada 12 Oktober 2009 bagi mengukuhkan ikatan antara Pemuda Barisan Nasional dengan Liga Pemuda Komunis China (Communist Youth League of China, CYL). Jelas bahawa kedua-dua Pemuda UMNO dan Utusan Malaysia adalah hipokrit dan mengamalkan double standard kerana gagal menuntut supaya tindakan diambil terhadap Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin kerana memuliakan komunisme dengan membentuk pakatan antara Pemuda BN dengan Liga Pemuda Komunis China.

Khairy Jamaluddin menyebut bahawa sekretariat tetap itu akan menjadi pemudahcara program dua hala berterusan bagi menggalakkan pertalian yang lebih utuh antara kedua-dua pihak. Ini bukannya hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tetapi hubungan terus antara parti politik dengan parti politik. Begitu pun tidak ada tindakan diambil apabil Khairy secara sedar dan niat yang jelas mewujudkan hubungan langsung dengan CYL melalui sebuah sekretariat.

Jika kedua-dua Utusan Malaysia dan Pemuda UMNO masih risau dengan komunis yang masih bersembunyi, maka kedua-duanya tidak perlu pergi jauh malah patut memberi perhatian kepada Khairy Jamaluddin dan Pemuda BN kerana mewujudkan hubungan terus dengan CYL. Utusan Malaysia dan Pemuda UMNO nampaknya sedang bergantung kepada strategi lama mereka dengan mengitar semula taktik mereka dengan menafikan hubungan sendiri dengan pihak komunis, taktik kotor untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia tentang kewujudan konspirasi komunis dan tipu helah demi mengaitkan orang bukan Melayu atau pihak lawan BN dengan pihak komunis.

Taktik terdesak seperti ini tidak akan berkesan lagi kerana rakyat sudah tidak mahu hidup dalam kegelapan dan kejahilan. 51% undi popular yang dimenangi Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum baru-baru ini serta kehilangan undi popular BN untuk pertama kali dalam sejarah membuktikan bahawa rakyat mahu hidup dalam kesedaran, secara bermaruah, berintegriti, dengan kebebasan maklumat, kebenaran, keadilan dan demokrasi.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Bagan