Pengumuman spontan dan tergesa-gesa oleh Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan DAP untuk mengadakan semula pemilihan parti adalah satu tindakan pemangsaan politik dan salahguna kuasa

DAP amat terkejut dengan tindakan pengumuman spontan dan tergesa-gesa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan DAP untuk mengadakan semula pemilihan parti apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) sendiri belum pun menyediakan surat memaklumkan DAP tentang keputusan ini yang merupakan satu tindakan pemangsaan politik dan salahguna kuasa. Ahmad Zahid telah membuat pengumuman tersebut dalam satu ucapan spontan sewaktu majlis berbuka puasa ROS di Putrajaya tanpa sebarang persediaan, tanpa apa-apa sebab bertulis tentang kenapa DAP perlu mengadakan semula pemilihan partinya.

Ini adalah satu tindakan balas dendam politik dan menjadi DAP mangsa kerana pihak parti tidak pun dimaklumkan terlebih dahulu, sama ada secara lisan atau bertulis tentang arahan untuk mengadakan pemilihan semula ini. Tambahan kepada itu, surat rasmi yang dijanjikan oleh ROS untuk dihantar kepada DAP masih belum disediakan mahupun dihantar. Apabila Setiausaha Organisasi DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban. Anthony Loke melawat ibu pejabat ROS di Putrajaya pagi ini, beliau dimaklumkan bahawa surat tersebut masih belum siap untuk dihantar. Adakah ROS telah menggadaikan profesionalisme dan integritinya kepada UMNO dan BN, serta merelakan diri menjadi alat untuk mengkhianati musuh politik BN?

Kejadian ini menimbulkan keraguan sama ada ROS telah benar-benar bertindak prejudis dan telah pun membuat keputusan untuk mengkhianati DAP. Tidak ada sebarang pertimbangan serius dibuat terhadap penjelasan DAP bahawa pemilihan parti tahun lalu telah dilaksanakan dengan baik, menepati undang-undang serta demokratik di mana semua perwakilan yang layak telah dimaklumkan tanpa sebarang perlakuan tidak jujur seperti politik wang atau apa-apa tindakan yang meragukan.

Satu-satunya kesilapan yang timbul ialah dalam proses penyiaran keputusan tersebut oleh ketua pegawai pemilihan yang menyebabkan bilangan undi yang salah diumumkan untuk calon-calon yang berjaya. Apabila kesilapan ini disedari, ia terus diperakui dan dibetulkan oleh parti secara sukarela tanpa didedahkan oleh mana-mana pihak luar. Pihak parti sekarang dihukum kerana enggan menutup kesilapan serta kerana bertindak jujur dan bercakap benar.

DAP telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak ROS dan telah memberikan semua maklumat yang diminta. Untuk ROS kini mendakwa bahawa Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP tidak diiktiraf adalah bertentangan dengan pendirian mereka sendiri apabila Pengarah ROS pun terus memanggil saya sebagai Setiausaha Agung DAP dalam surat-surat rasminya tahun ini malah menyatakan bahawa DAP dibenarkan menggunakan simbol Roket dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

DAP menyeru semua pemimpin, ahli dan penyokong supaya bertenang. Sebuah mesyuarat tergempar CEC akan diadakan esok malam di ibu pejabat DAP untuk menangani perkembangan terbaru ini. Memandangkan ini adalah jelas satu tindakan balas dendam politik dan salahguna kuasa, CEC DAP akan menimbangkan semua kemungkinan seperti yang ditetapkan di dalam Akta Pertubuhan, selepas menerima arahan bertulis daripada ROS.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Bagan