Mahathir cuba menentukan agenda untuk pemilihan parti Umno akan datang dengan memainkan mitos “dilema kaum Cina”

Ketika saya bertanding di parlimen Gelang Patah dalam pilihanraya umum ke-13, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menuduh saya mahu menimbulkan “ketegangan kaum” antara kaum Melayu dan Cina di Johor.

Itu adalah dusta. Malah, perkembangan sejak beberapa bulan ini menunjukkan bahawa Mahathir yang sebenarnya cuba menimbulkan “ketegangan kaum”, khususnya selepas keputusan pilihanraya umum 5 Mei lalu, apabila beliau cuba melaga-lagakan kaum di negara ini.

Mahathir sekali lagi membuat onar dalam ruang pendapat di New Straits Times kelmarin dengan mengada-adakan mitos berbahaya dan palsu tentang “dilema kaum Cina”, iaitu tentang percubaan kaum Cina untuk menghapuskan kuasa politik Melayu di Malaysia – sambil cuba menentukan agenda untuk pemilihan Umno akan datang.

Sudah tentu Mahathir tahu benar bahawa realiti politik dan demografi di Malaysia menyebabkan kuasa politik Melayu tidak pernah tergugat sama sekali dan tidak pernah ada pula percubaan oleh kaum Cina atau mana-mana kaum lain untuk menghapuskan kuasa politik Melayu.

Persoalannya ialah sama ada Umno dan kaum Umnoputera boleh meneruskan politik perkauman, kronisme, korupsi, dan penyalahgunaan kuasa, atau sama ada Malaysia akan menikmati politik baru, iaitu kemajmukan kaum, tadbir urus yang baik, integriti awam, kebebasan dan keadilan.

Bererti, persoalan terbesar untuk rakyat Malaysia bukannya tentang kuasa politik Melayu akan hilang atau tidak, tetapi soal sama ada pilihanraya umum ke-13 telah memulakan trend politik baru di mana lebih banyak rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, telah mengambil pendirian menentang politik perkauman dan menyokong politik berbilang kaum, menuju ke arah Impian Malaysia di mana semua warganya bersatu sebagai satu bangsa melampau sempadan kaum, agama, budaya, dan bahasa.

Masa depan Malaysia bergantung pada peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang bersatu ke arah Impian Malaysia, bukannya Impian Melayu, Impian Cina, Impian Kadazan atau Impian Iban.

Apakah pimpinan atasan MCA bersetuju dengan kenyataan berbahaya dan rasis Mahathir? Jika tidak, apakah mereka sanggup untuk secara terbuka membantah kenyataan beliau tentang “dilema kaum Cina” serta hasrat kaum Cina untuk menghapuskan kuasa politik Melayu?

Jika Mahathir berpura-pura tidak tahu atau tidak memahami mengapa MCA telah hilang kredibiliti dan legitimasi sebagai sebuah parti politik, barangkali reaksi pimpinan atasan MCA akan membantu mengingatkan beliau tentang perkara ini.

Apakah Mahathir sebenar-benarnya percaya dengan kenyataan perkauman beliau sendiri serta mitos liar “dilema kaum Cina” yang beliau perkatakan itu?

Apakah Mahathir menyangka rakyat Malaysia yang berakal dan waras, tanpa mengira kaum, akan percaya dengan kenyataan perkauman beliau tentang “dilema kaum Cina” dan bahawa Cina mahu menghapuskan kuasa politik Melayu serta menguasai politik Malaysia – yang semuanya sebahagian daripada khayalan beliau sepertimana ketika beliau menuduh saya bertanding di Gelang Patah untuk mewujudkan ketegangan kaum dan menghasut Cina untuk membenci Melayu?

Kenyataan-kenyataan perkauman Mahathir merupakan perkembangan paling mengecewakan dalam politik Malaysia, namun rakyat Malaysia tidak perlu berputus-harap.

Kata orang, “ada hikmah di sebalik kejadian” dan hikmah yang boleh kita pelajari kini ialah bahawa kenyataan perkauman Mahathir sudah semakin tidak laku, dan ini akan mematahkan percubaan beliau untuk melaga-lagakan Melayu dengan Cina dan memusnahkan Impian Malaysia yang diimpikan oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah