Utusan manipulasi kajian untuk main sentimen perkauman

Pemuda DAP menempelak manipulasi laporan yang dibuat oleh akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia berkaitan satu kajian yang telah dibuat secara kerjasama oleh Dr Lee Hwok Aun dari Universiti Malaya (UM) dan Dr Muhammed Abdul Khalid dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkaitan dengan faktor kecenderungan majikan disektor swasta dalam mengambil graduan sebagai pekerja.

Utusan Malaysia dengan tradisi laporan yang mengelirukan serta niat khusus untuk membangkitkan sentimen perkauman telah memaparkan laporan terpilih bertajuk ‘Graduan Melayu didiskriminasi’ tanpa memaparkan siapa dan dari mana kajian ini dibuat dalam laporannya. Ini jelas menunjukkan niat jahat Utusan untuk cuba memanipulasi fakta kajian.

Secara umumnya kita tidak menafikan sama sekali kewujudan sikap diskriminasi dalam industri kerja. Namun itu bukanlah agenda mana-mana pihak secara terancang atau langsung, tetapi ia merupakan sikap segelintir majikan, dan ini terdiri dari pelbagai faktor lain yang perlu dikaji dan dibahas.

Perlu dilaporkan dengan adil bahawa dalam isu diskriminasi ini, ia bukanlah isu baru dan ia bukan hanya melibatkan graduan Melayu dari IPTA sahaja, malah graduan kaum bukan Melayu juga menghadapi masalah yang sama, ia berlaku sejak sekian lama. Malah kajian bukan sahaja meliputi sektor swasta, sektor kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga perlu dikaji dan dibahaskan.

Jika penemuan kajian tersebut dilihat secara keseluruhan, pasti kita boleh memahami dengan lebih jelas bahawa isu diskriminasi ini perlu ditangani dengan lebih komprehensif dan jujur oleh pihak kerajaan bersama-sama sektor swasta. Bukan dengan cara penyelesaian cara Utusan UMNO yang menggunakan sentimen perkauman.

Malah langkah mengatasi masalah ini seharusnya sudah dilaksana segera sepertimana desakan dari Proham agar kerajaan menandatangani Konvensyen Antarabangsa PBB mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum 1969 (ICERD). Juga Tan Sri Simon Sipaun turut menegaskan bahawa isu diskriminasi sektor ini menjadi salah satu punca berlakunya ‘brain drain’.

Jika membaca laporan tidak lengkap Utusan ini, ia digambarkan seolah-olah ia masalah diskriminasi perkauman antara majikan Cina mendiskriminasi graduan Melayu semata-mata. Ini merupakan laporan yang sangat memanipulasi dan merbahaya.

Seharusnya, laporan Utusan dari data ini boleh membantu kerajaan disektor sumber manusia dan pendidikan merangka dasar yang lebih baik demi memastikan graduan kita masa depan memiliki cukup kemahiran untuk bersaing diperingkat lebih luas. Kerajaan yang berkuasa sewajarnya memainkan peranan neutral, tanpa terikut-ikut dengan rentak Utusan.

Pemuda DAP menolak budaya perkauman yang cuba dimainkan oleh Utusan Malaysia; dan terus konsisten dengan prinsip peluang saksama kepada semua kaum melampaui sempadan agama, keturunan dan gender. Setiap graduan mestilah diberi peluang untuk mengembangkan potensinya dalam apa jua bidang.

Mahdzir Ibrahim Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAPSY