Briged DDD Umno yang diketuai oleh bekas PM Dr Mahathir Mohamad perlu belajar bahasa untuk memahami takrif “perkauman”

Briged Pemusnah DAP di bawah Umno yang dibongkar kewujudannya oleh Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang meneruskan propagandanya yang mengapi-apikan orang ramai ke arah melihat DAP sebagai sebuah parti perkauman. Briged DDD diketuai oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini mendakwa bahawa DAP terbukti merupakan sebuah parti perkauman kerana para pengundi Cina mengundi DAP dan jumlah orang Cina yang menyertai perhimpunan-perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat juga tinggi.

Tuduhan ini adalah antara perkara paling karut pernah dituturkan oleh bekas Presiden Umno yang telah berusia 88 tahun itu.

Ketika orang Melayu banyak memberi undi kepada Umno di masa lalu, ia tidak pernah dianggap sebagai “perkauman”. Ketika satu kumpulan yang 100% anggotanya Melayu mengadakan protes mingguan menentang kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, ia tidak dianggap sebagai “perkauman”. Ketika kaum Cina mengundi MCA dulu, ia juga tidak dianggap sebagai perkauman. Ketika kaum Cina ramai-ramai mengundi PAS dan PKR dalam pilihanraya yang baru berlalu, PAS dan PKR tidak dituduh perkauman.

Ketika sokongan orang Melayu terhadap calon DAP dalam pilihanraya baru-baru ini meningkat, Dr Mahathir menuduh DAP menyebarkan “propaganda” yang mempengaruhi golongan Melayu berpendidikan ke arah melihat kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai korup.

Bagaimanapun, ketika orang Cina turut memberikan sokongan padu terhadap DAP, ia dianggap sebagai bukti sifat “perkauman” DAP. Ketika banyak orang Cina ikut serta dalam acara-acara Pakatan Rakyat, hal itu dianggap sebagai bukti kukuh tentang “perkauman” Cina. Logik nyanyuk apakah ini?

Barangkali elok jika Dr Mahathir dan Briged DDD membuka kamus dan mencari takrif “perkauman”. Perkauman dijelaskan dalam Dictionary.com sebagai “a belief… usually involving the idea that one's own race is superior and has the right to rule others” (sebuah kepercayaan… biasanya melibatkan gagasan bahawa kaum seseorang itu lebih unggul dan mempunyai hak untuk memerintah orang lain) atau “a policy, system of government, etc., based upon or fostering such a doctrine; discrimination” (suatu dasar, sistem kerajaan, dsb., yang berasaskan atau mengukuhkan doktrin sedemikian; pilih bulu).

Takrif di atas sudah memadai untuk membuktikan bahawa rasis sebenar dalam negara ini adalah Umno, Dr Mahathir dan Briged DDD beliau. Malah, Briged DDD yang memiliki wang berjuta-juta ringgit itu boleh dikatakan telah memberi takrif yang sepenuhnya baru untuk “perkauman”, menerusi blog-blog yang berpengaruh serta lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia, untuk memenuhi matlamat politik mereka sendiri. Matlamat mereka ialah untuk membasuh otak Melayu dan warga Malaysia supaya menerima “anti-perkauman” sebagai “perkauman”, manakala “perkauman” adalah hak mereka.

Di mana lagi di dunia ini boleh kita temui sebuah parti seperti Umno yang menyeru ke arah “ketuanan Melayu” sebagai asas tunggal kewujudannya tetapi pada masa yang sama cuba menafikan sifat perkaumannya? Pada masa yang sama, DAP sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kesaksamaan peluang dan keadilan untuk semua tanpa mengira kaum dan agama, selain memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan adil, dituduh sebagai entiti paling rasis di dunia.

Semata-mata kerana kami menyokong doktrin “ketuanan rakyat” dan menentang doktrin ketuanan kaum, sejak akhir tahun lalu Umno meletakkan DAP sebagai musuh terbesar mereka bagi memastikan mereka dapat meneruskan dasar-dasar perkauman mereka. Serangan terus-menerus oleh Briged DDD yang diketuai oleh Dr Mahathir dan didanai dengan ratusan juta ringgit menyebabkan DAP terpaksa berdepan dengan pertempuran terbesar dalam sejarah politiknya. Matlamat mereka tidak lain ialah untuk memastikan DAP terus berkubur sama ada menerusi pembatalan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan, pemenjaraan serta penyingkiran para pemimpin kami menerusi Akta Hasutan yang menindas serta undang-undang drakonian yang lain, serta penolakan orang Melayu dan warga Malaysia terhadap DAP sebagai sebuah parti “perkauman” sedangkan ia sifatnya sama sekali bukan begitu.

DAP akan berpegang teguh dengan prinsip-prinsipnya dan mematahkan serangan-serangan rasis Umno dan Barisan Nasional. Para pemimpin parti ini akan berpijak di atas prinsip tanpa gentar mahu pun ragu dan kami bersedia untuk menanggung segala tindakan zalim rejim Umno bagi memastikan generasi masa depan Malaysia tidak akan perlu terperangkap dalam kerangka perkauman yang sedang mengepung kita hari ini.

Tony Pua Kiam Wee Seitausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Kawasan Petaling Jaya Utara