Kejadian rompakan bersenjata di sebuah restoran steamboat terbuka di Cheras menunjukkan jenayah di Malaysia berada pada tahap paling buruk

Hampir 70 orang pelanggan sebuah restoran steamboat berkonsep terbuka di Cheras telah dirompak pada awal pagi Sabtu oleh sekumpulan 10 orang perompak bersenjatakan parang dan batang besi. Pemilik restoran dan para pelanggan beliau kerugian wang sejumlah RM20,000 dan sekurang-kurangnya dua pelanggan telah diserang kerana terlalu lambat menyerahkan barang berharga mereka.

Dilaporkan bahawa polis telah menerima empat laporan berkenaan kes-kes yang hampir sama di Kuala Lumpur dan satu lagi di Petaling Jaya sejal dua minggu lalu. Setahu saya kes-kes sebegini terjadi di banyak kawasan di pusat-pusat perdagangan Petaling Jaya sejak 6 bulan yang lalu, tetapi kedai-kedai terbabit tidak berani menghebahkan kejadian yang menimpa mereka kerana bimbang tindak balas daripada para perompak terbabit.

Keberanian para perompak ini membawa jenayah di Malaysia ke tahap lebih buruk. Kejadian yang berlaku ini bukan meibatkan rompakan bersenjata ke atas seorang pejalan kaki di kawasan gelap dan terpencil, sebaliknya rompakan secara terbuka di restoran yang dipenuhi pelanggan.

Keadaan ini meletakkan Polis Diraja Malaysia hari ini dalam tiga krisis keyakinan dan kredibiliti.

Pertama, peningkatan kejadian jenayah dan sifat agresif jenayah yang dilakukan membuktikan polis gagal menjalankan tugas terpenting mereka, iaitu memastikan rakyat biasa tidak hidup dalam ketakutan.

Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak telah melancarkan kempen “Bersatu Perangi Jenayah” dengan mendakwa bahawa usaha memerangi jenayah “memerlukan komitmen dan sokongan berterusan daripada semua lapisan masyarakat untuk membentuk persekitaran yang selamat untuk semua orang.”

Bernama melaporkan bahawa Perdana Menteri sewaktu mengajak semua lapisan masyarakat untuk bersatu memerangi jenayah telah juga menyeru sektor swasta, terutamanya para pemilik pusat beli-belah, untuk meningkatkan tahap keselamatan di premis mereka, misalnya dengan memasang lebih banyak kamera litar tertutup dan menggunakan khidmat lebih banyak pengawal keselamatan.

Langkah-langkah sokongan ini mungkin boleh membendung jenayah, tetapi tanggungjawab utama untuk memerangi jenayah, seperti jenayah yang dilakukan secara terbuka di restoran berkenaan, hanya boleh ditangani oleh pihak polis. Tidak masuk akal jika semua rakyat Malaysia disuruh berhenti makan di luar rumah, atau untuk semua restoran, kecil dan besar, memasang CCTV dan menggunakan khidmat pengawal keselamatan.

Kedua, polis pada hari ini lebih berminat untuk bermain politik daripada memerangi jenayah. Memetik kata-kata Ahli Parlimen Lim Kit Siang, kita kini mempunyai “Ketua Polis paling politikal” dalam sejarah negara. Dalam tempoh sebulan sejak pelantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar, rakyat Malaysia belum melihat sebarang inisiatif baru yang benar-benar mantap, pencapaian baru, atau kejayaan polis dalam menjalankan tanggungjawab utamanya dalam menjaga keselamatan.

Sebaliknya, yang kita lihat polis di bawah Ketua Polis yang baru bertindak keras terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis sosial walaupun mereka tidak melakukan apa-apa tindakan yang menjejaskan ketenteraman awam. Ketua Polis telah mengarahkan pasukan polis untuk menggunakan Akta Perhimpunan Awam dan Akta Hasutan untuk menakut-nakutkan dan mengekang pembangkang.

Krisis ketiga, setelah berlaku kematian dalam tahanan polis yang keempat dalam masa 18 hari Ketua Polis baru memegang jawatannya, reputasi pasukan polis hancur-lebur. Kes terbaru melibatkan seorang warga Jepun dalam lokap balai polis USJ, dan ini adalah kes kesembilan dalam tahun ini. Pada asasnya ini menunjukkan bahawa tiada penambahbaikan dibuat sejak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Polis Diraja Malaysia mengemukakan saranan mereka pada tahun 2008.

Tiga krisis keyakinan dan kredibiliti ini membangkitkan persoalan mengapa kerajaan Barisan Nasional masih enggan untuk melaksanakan saranan utama laporan RCI, iaitu untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang “disasarkan untuk menangani aduan berkaitan polis dan berusaha meningkatkan profesionalisme pasukan polis serta memastikan doktrin, undang-undang, peraturan, dan prosedur tertentu dipatuhi dan dilaksanakan oleh polis.”

Kerajaan BN perlu menanggung beban kesalahan sepenuhnya. Jika BN mahu mendapatkan semula sokongan penduduk bandar dalam pilihan raya umum selepas ini, ia mesti melaksanakan IPCMC untuk mencegah peningkatan jenayah, menghalang pempolitikan pasukan polis sebagai alat BN dan memastikan tidak ada semakin banyak tahanan yang mati dalam lokap polis.

Tony Pua Kiam Wee Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Kawasan Petaling Jaya Utara