Kejadian rompakan berlaku hampir setiap malam di Lembah Klang, apakah ini hanya persepsi atau sebenarnya Lembah Klang telah mula dicengkam oleh kacau-bilau?

Pada hari Selasa, 11 Jun, saya telah mengeluarkan kenyataan tentang rompakan yang dilakukan secara terang-terangan di Lembah Klang. Sabtu lalu, hampir 70 orang pengunjung sebuah restoran steamboat jenis terbuka di Cheras telah dirompak oleh sekumpulan 10 orang penjenayah bersenjatakan parang dan batang besi. Pemilik restoran dan para pelanggannya kerugian lebih RM20,000 dan sekurang-kurangnya 2 pelanggan telah diserang kerana lambat menyerahkan barangan berharga mereka.

Sejak dua malam lepas, 2 kejadian melibatkan kumpulan perompak bersenjata telah terjadi di restoran terbuka di Kepong, Cheras, dan Kajang pada setiap malam. Kejadian ini berlaku walaupun 3 penjenayah yang disyaki telah diberkas oleh polis tengahari kelmarin berikutan kes yang berlaku sebelum itu.

Malah dilaporkan bahawa pihak polis telah menerima empat laporan tentang kes-kes sedemikian di Kuala Lumpur dan juga Petaling Jaya dalam tempoh dua minggu lalu.

Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak sendiri telah menjanjikan “perang menentang jenayah” Sabtu lalu ketika beliau melancarkan program “Bersatu Perangi Jenayah” dalam sebuah acara yang meriah. Ketua Polis Negara yang baru dilantik, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pula telah mengumumkan dengan bangganya pada tarikh pelantikannya bahawa beliau mahu menetapkan keselamatan sebagai keutamaan dan “mengembalikan” jalan-jalan awam kepada rakyat. Tetapi kita tidak melihat sebarang hasil daripada janji-janji mereka.

Para penjenayah bersenjata seolah-olah sedang mencabar Perdana Menteri dan Polis Diraja Malaysia.

Keadaan menjadi semakin tidak masuk akal apabila malam kelmarin sekumpulan 8 hingga 10 penjenayah bersenjata telah merompak 2 tempat makan dan setelah itu mereka bersuka ria di sebuah pub. Di pub berkenaan, mereka enggan membayar dan merompak pula juruwangnya!

Jika Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara yang baru serius tentang “perang menentang jenayah”, mereka perlu melaksanakan saranan-saranan utama Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dikemukakan pada tahun 2005 kepada Polis Diraja Malaysia.

Antara saranan yang enggan dilaksanakan oleh Kerajaan BN ialah saranan utama laporan Suruhanjaya berkenaan, iaitu penubuhan sebuah Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). IPCMC “disasarkan untuk menangani aduan berkaitan polis dan berusaha meningkatkan profesionalisme pasukan polis serta memastikan doktrin, undang-undang, peraturan, dan prosedur tertentu dipatuhi dan dilaksanakan oleh polis.”

Saranan utama kedua dikemukakan oleh RCI yang enggan diterima ialah penyusunan semula organisasi polis agar lebih menumpu kepada usaha memerasi jenayah.

Sejak 8 tahun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah (CID) hanya dianggotai oleh 9% anggota polis dan angkanya tidak berubah. Sebaliknya, 41% anggota polis berseragam menjalankan fungsi pengurusan, manakaa 31% lagi ditugaskan untuk menjaga keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam seperti Unit Simpanan Persekutuan (FRU), pasukan Light Strike Force dan Pasukan Gerakan Am.

Malah Belanjawan tahun 2010 menunjukkan bahawa polis telah menghasilkan sebanyak 733,237 laporan dan pemeriksaan keselamatan oleh jabatan Cawangan Khas, sedangkan kertas siasatan jenayah yang dihasilkan hanyalah sebanyak 211,645. Bererti laporan yang dikeluarkan oleh Cawangan Khas adalah tiga kali ganda lebih banyak laporan berbanding Jabatan Siasatan Jenayah. Ini selari dengan kenyataan bahawa Ketua Polis Negara yang baru tampak lebih sibuk menggugat aktivis masyarakat sivil dan para pemimpin Pakatan Rakyat dengan Akta Perhimpunan Awam dan Akta Hasutan bagi membendung pembangkangan terhadap BN daripada melancarkan “perang” sebenar menentang jenayah.

Laporan RCI tahun 2005 telah menyarankan agar 20,000 anggota berseragam atau 22% daripada anggota pasukan berseragam ditugaskan untuk kembali menjalankan kerja pengawasan yang sebenar. Malangnya saranan ini tidak dipedulikan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Kita berharap agar di bawah Menteri Dalam Negeri yang baru, Dato’ Seri Zahid Hamidi, kerajaan tidak lagi menanggapi isu peningkatan kejadian jenayah sebagai isu “persepsi awam”. Hakikatnya kejadian jenayah semakin meningkat dan rakyat Malaysia tidak merasa selamat. Persepsi yang perlu diubah sebenarnya adalah persepsi kerajaan terhadap jenayah.

Tony Pua Kiam Wee Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Kawasan Petaling Jaya Utara