Tiada jalan lain melainkan menggantikan EAIC dengan IPCMC
Kini sudah 24 jam kami mendedahkan kemungkinan besar bahawa pegawai penyiasat tunggal Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang juga seorang ahli pasukan petugas yang telah ditubuhkan untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan merupakan pegawai penyiasat sama yang telah menyoal siasat Teoh Beng Hock sejurus sebelum kematian beliau.
Sekiranya benar, persoalan timbul bagaimana mungkin pegawai tersebut, Mohd Nadzri Ibrahim, ditugaskan untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan sedangkan beliau sendiri pernah terlibat dalam kes yang serupa? Malah, Majlis Peguam pernah menyarankan agar siasatan lanjutan dijalankan ke atas Mohd Nadzri atas penglibatannya dalam kes tersebut.
Namun begitu, sehingga sekarang tiada lagi jawapan daripada Perdana Menteri atau EAIC. Kami menggesa sekali lagi agar Dato’ Sri Najib Razak memberi penjelasan segera memandangkan EAIC adalah sebuah agensi di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri. Kegagalan untuk mengesahkan identiti pegawai tersebut akan merosotkan lagi keyakinan awam terhadap EAIC.
Pendedahan ini adalah tambahan kepada kritikan-kritikan terhadap EAIC daripada pelbagai pihak, termasuk mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid yang baru-baru ini telah mempersoalkan kegunaan serta kemampuan EAIC. Menurutnya, setelah menelan belanja RM14 juta selama dua tahun sejak 2009, EAIC hanya berjaya mengeluarkan dua amaran dan satu tindakan disiplin dalam tempoh masa tersebut.
Menurut Tun Hamid, sebanyak 347 aduan telah diterima di mana hanya 60 telah dimajukan untuk siasatan lanjutan. Daripada jumlah ini, hanya tiga yang disiasat penuh, dan akhirnya dua kes telah ditutup atas sebab pendakwaan dua kali atau "double jeopardy" sementara satu telah dirujuk kepada lembaga disiplin Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif EAIC Nur Afizah Hanum sendiri telah mengakui bahawa beliau tidak tahu sama ada tindakan disiplin tersebut telah pun dikenakan terhadap pegawai yang berkenaan.
Hakikatnya, EAIC adalah umpama harimau yang tidak bertaring. Walaupun diwujudkan sebagai pengganti kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang telah disarankan oleh Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tun Dzaiddin pada tahun 2005, EAIC hanya mempunyai kuasa menyiasat dan memberi cadangan. Tanpa apa-apa kuasa penguatkuasaan, jelas EAIC tidak diambil serius. Ini sudah pun terbukti dengan prestasi yang sangat menghampakan sejak penubuhannya.
Akibatnya, agensi-agensi penguatkuasa di negara kita seperti SPRM dan PDRM sudah menjadi leka dan tidak mengikuti Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang betul apabila kes-kes kematian dalam tahanan semakin meningkat dengan sembilan kematian bagi tahun ini dan empat dalam tempoh dua minggu yang lepas. Tambahan pula, dengan kemungkinan besar bahawa pegawai penyiasat tunggal EAIC mungkin terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock, keyakinan awam terhadap agensi-agensi penguatkuasa sudah hampir hilang sama sekali.
Justeru, tidak ada jalan lain melainkan menggantikan EAIC yang bukan sahaja tidak bertaring tetapi sudah jelas gagal dan hilang integriti dengan penubuhan IPCMC yang benar-benar berkuasa dan berupaya untuk mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk menyiasat, menggantung tugas dan memecat anggota-anggota penguatkuasa yang didapati bersalah.
Pada masa yang sama, lantikan anggota-anggota IPCMC harus dilakukan secara telus dan bebas melalui jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang mempunyai keanggotaan adil daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang. IPCMC juga perlu bebas daripada campur tangan badan Eksekutif dan bukannya diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri seperti EAIC pada masa kini.
Akhir sekali, kerajaan harus menubuhkan sebuah mahkamah koroner yang bebas dan profesional serta menggunakan tatacara antarabangsa untuk menyiasat kes-kes kematian luarbiasa termasuk kematian dalam tahanan.
Tindakan-tindakan drastik dan tegas harus diambil sekiranya kerajaan ingin mengelak berlakunya lagi kematian dalam tahanan serta memulihkan imej dan keyakinan awam terhadap agensi-agensi penguatkuasa negara kita.
Pada masa yang sama, kami juga menggesa supaya Perdana Menteri berterus terang dan segera mengesahkan sama ada pegawai penyiasat tunggal EAIC, Mohd Nadzri Ibrahim, adalah pegawai sama yang terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock. Dan sekiranya ya, beliau harus dilucutkan daripada semua siasatan kes-kes kematian dalam tahanan.