Tugas pertama Parlimen ke-13 ialah memilih Speaker yang tidak berpihak

Pemilihan Speaker dan proses pemilihannya adalah perkara yang amat penting bagi negara ini sebelum sesi pembukaan Parlimen ke-13 berlangsung.

Ada dua ciri penting pada Parlimen ke-13, iaitu,

pertama, memandangkan parti pemerintah Barisan Nasional hanya meraih 47 peratus undi dalam pilihan raya umum yang lalu, maka keabsahannya dari segi politik dipertikaikan;

kedua, Pakatan Rakyat mempunyai kekuatan yang ampuh dan mesti dipandang serius memandangkan ia memegang lebih daripada sepertiga kerusi di Dewan Rakyat.

Speaker baru Dewan Rakyat perlu mendapat kepercayaan dan dihormati oleh semua Ahli Parlimen, selain mampu menangani kedua-dua pakatan pemerintah dan pembangkang secara saksama dan tidak berpihak.

Di negara-negara yang mengamalkan demokrasi ala Westminster seperti Kanada, India, dan sebagainya, Perdana Menteri biasanya akan meminta pandangan Pembangkang sebelum memilih Speaker dan mengemukakan kepada Parlimen calon yang paling boleh diterima oleh semua pihak bagi menghindari pungutan suara dan pertikaian di awal sesi parlimen.

Sejak hari pertama di kerusinya, Speaker menunjukkan sikap tidak berpihak. Speaker Parlimen UK misalnya memutuskan hubungan dengan parti politiknya. Malah, di negara itu speaker tidak dipilih menurut garis parti. Speaker Parlimen UK sekarang, John Bercow, adalah anggota parti Konservatif tetapi beliau memainkan peranan sebagai speaker sejak Julai 2009, ketika Parti Buruh masih menguasai kerajaan.

Malaysia unik kerana Parlimen membolehkan seseorang yang bukan-Ahli Parlimen dipilih sebagai Speaker. Amalan ini tidak pernah dibuat di negara-negara lain yang mengamalkan demokrasi Westminster. Ia diperkenalkan di zaman Tun Dr. Mahathir untuk membolehkan Tun Zahir Ismail menjadi Speaker Parlimen, bermula sejak 14 Jun 1982 sehingga beliau meninggal dunia pada 14 Oktober 2004.

Ketika itu Dr Mahathir agak terasing dalam Umno dan kemungkinan besar beliau bimbang usul undi tidak percaya terhadapnya dikemukakan di Parlimen, dengan itu beliau meletakkan seorang bekas hakim di kerusi tersebut dan bukannya seorang ahli parlimen daripada Umno.

Langkah ini boleh dicontohi dalam keadaan semasa. Seorang tokoh yang dihormati oleh kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang, tidak semestinya seorang ahli parlimen Umno, boleh dipilih sebulat suara untuk menjadi Speaker bagi Parlimen ke-13.

Perdana Menteri perlu segera memulakan langkah untuk mendapatkan pandangan dan berunding dengan Pakatan Rakyat.

Jika langkah ini tidak diambil, sekiranya pungutan suara diperlukan, ia perlu dijalankan secara rahsia bagi memastikan kedudukan Speaker sebagai pihak berkecuali.

Liew Chin Tong Pengarah Pendidikan Politik DAP & Ahli Parlimen Kawasan Kluang