Apakah pegawai atasan Polis Diraja Malaysia sedang menyiapkan satu lagi rancangan pemberontakan untuk mematahkan sebarang percubaan untuk menubuhkan IPCMC?

Pada Mei 2006, pasukan Polis Diraja Malaysia telah mengugut untuk melancarkan pemberontakan jika kerajaan Datuk Seri Abdullah Badawi ketika itu meneruskan hasrat untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) selari dengan saranan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (RCI) berkenaan polis. Maka, rancangan penubuhan IPCMC itu diketepikan dan sebaliknya ditubuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang kurang berpengaruh.

Permintaan agar IPCMC ditubuhkan kini kedengaran semula setelah EAIC ternyata gagal. Tetapi Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin sekali lagi mengenepikan semua permintaan ke arah penubuhan suruhanjaya berkenaan.

“Sudah ada undang-undang. Sudah ada EAIC. Tidak ada gunanya untuk membincangkan tentang IPCMC… Saya rasa undang-undang sudah sedia ada dan ia lebih kuat daripada IPCMC,” ujar beliau Sabtu lalu.

Profesionalisme pasukan polis terus dipersoalkan apabila kes kematian dalam tahanan polis semakin meningkat, selain peningkatan kejadian jenayah dalam negara, khususnya di Lembah Klang. Tahun ini, dalam masa kurang 6 bulan, telah berlaku 9 kematian dalam tahanan polis. Pada masa yang sama, beberapa kumpulan bersenjatakan parang mengganas di beberapa kedai makan berkonsep terbuka secara agak kerap sejak beberapa minggu lalu. Semua itu belum termasuk soal cara polis mengendalikan perhimpunan-perhimpunan awam sejak beberapa tahun lalu apabila bahkan wartawan dibelasah dengan teruk dan tindakan polis dikecam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Semua insiden ini membuktikan bahawa EAIC telah gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan profesionalisme agensi-agensi penguatkuasaan kita. Ini tidak mengejutkan memandangkan suruhanjaya yang menggantikan IPCMC ini sememangnya dibentuk untuk gagal, memandangkan kuasa yang diberikan kepadanya adalah sedikit dan dana yang diperuntukkan hanya sekecil RM7 juta setahun. Pada masa ini, EAIC hanya mempunyai seorang penyiasat yang ditugaskan untuk menyiasat 19 agensi penguatkuasaan, sedangkan tahun ini adalah tahun ketiga operasi EAIC. Lebih parah, dikatakan bahawa penyiasat tunggal ini sendiri terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Semua ini menimbulkan persoalan besar tentang keseriusan kerajaan dalam menangani isu-isu yang disebutkan di atas.

Pada tahun 2006, Polis telah menyenaraikan 10 sebab bantahan mereka terhadap IPCMC dalam sebuah buletin khas. Menurut mereka, IPCMC boleh “menjejaskan keselamatan negara dan ketenteraman awam,” “orang ramai akan menjadi mangsa dan kesannya negara akan menjadi porak-peranda,” “kes jenayah tidak akan dapat dikawal,” “IPCMC bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang kerana ia membezakan kakitangan polis daripada warga biasa” dan bahawa Akta itu akan “’melembutkan’ polis.”

Paling mengejutkan ketika itu apabila pihak polis mengugut dengan menatakan IPCMC akan “menjejaskan kuasa pakatan pemerintah.” Beberapa pegawai kanan polis dikatakan telah memberi amaran bahawa “polis akan mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum berikutnya yang sepatutnya dibuat pada tahun 2009” dan bahawa “pegawai atasan PDRM akan meletakkan jawatan beramai-ramai, anggota polis akan enggan untuk bekerja lebih masa dan menuntut untuk bekerja hanya 5 hari seminggu dan lapan jam sehari” jika IPCMC diwujudkan.

Polis tidak seharusnya mengugut untuk melancarkan pemberontakan jika IPCMC ditubuhkan kerana jelas sejak 7 tahun yang lalu tiada perubahan dari segi perlindungan terhadap hak asasi manusia dan kadar jenayah dalam negara ini walaupun kerajaan telah tunduk kepada bantahan polis.

Malah polis sepatutnya menyokong penubuhan IPCMC kerana tujuan suruhanjaya ini ditubuhkan bukanlah untuk menjadikan polis sebagai mangsa, sebaliknya untuk meningkatkan profesionalisme pasukan polis dan meningkatkan keberkesanannya dalam menjalankan tugas kepolisan. Dengan menyokong IPCMC, menyingkirkan unsur-unsur tidak baik dalam pasukan polis, dan memelihara disiplin dalam pasukan polis, yang akan menang adalah polis sendiri dan rakyat. Selain itu, jika polis sememangnya profesional dan bertindak secara telus seperti yang didakwa, tiada apa-apa yang perlu ditakutkan dengan IPCMC.

Kita menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggunakan ‘mandat’ baru beliau untuk membentangkan rang undang-undang IPCMC yang baru di Parlimen dengan segera sejurus sidang Parlimen bermula pada 24 Jun 2013 nanti. Langkah tegas membentangkan rang undang-undang ini bukan saja konsisten dengan ikrar Datuk Seri Najib untuk menjalankan program transformasi beliau, malah juga ia akan menarik sokongan rakyat terhadap kerajaannya.

Tony Pua Kiam Wee Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Kawasan Petaling Jaya Utara