Apa lagi ROS mahu?

Saya merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pendaftar ROS Datuk Abdul Rahman Othman semalam meminta DAP mengemukakan bukti mengenai silap kira undi dalam pemilihan CEC pada bulan Disember lepas.

Yang pertama, apakah ia telah menjadi satu prosedur untuk ROS mengeluarkan kenyataan media setiap kali mereka meminta DAP untuk memberikan keterangan atau bukti? Mengapakah hanya siasatan terhadap DAP diberikan perhatian oleh ROS sedangkan siasatan terhadap parti-parti politik yang lain tidak diwar-warkan untuk pengetahuan umum dalam media?

Abdul Rahman berkata ROS perlu membuat kenyataan untuk pengetahuan umum tentang kemajuan proses siasatan ROS untuk mengelakkan manipulasi fakta seperti kandungan surat ROS bertarikh 17 April 2013 yang didakwanya telah dimanipulasi oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Saya ingin bertanya kepada Abdul Rahman dan ROS, apakah kandungan surat pada 17 April lalu yang telah dimanipulasi oleh DAP? Dakwaan tersebut adalah satu dakwaan yang melulu dan tidak berasas sama sekali. Setiap kali kita mengadakan sidang akhbar untuk memberikan reaksi terhadap ROS, salinan surat dari ROS diedarkan kepada para wartawan sebagai bukti.

Kenyataan demi kenyataan oleh ROS melalui media hanya bertujuan untuk menimbulkan persepsi negatif orang ramai terhadap DAP dan mengugat keyakinan ramai terhadap kredibiliti pimpinan DAP.

Kami telah berkali-kali mengatakan bahawa kami bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada ROS dalam siasatan mereka dan setiap dokumen yang mereka minta dalam tempoh beberapa bulan ini telah pun kami bekalkan kepada mereka. Sekiranya ROS masih tidak dapat menyelesaikan siasatan tersebut, ini hanya menunjukkan kelemahan dan ketidakcekapan mereka dalam menjalankan siasatan.

Apa lagi ROS mahu?

Loke Siew Fook Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Seremban