Jika Datuk Seri Shahidan Kassim juga tidak perkauman, beliau juga boleh jadi Perdana Menteri

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dalam wawancaranya bersama akhbar Sin Chew Daily sebagai berkata "Jika orang Cina bersedia melangkah melangkaui sempadan kaum, bercampur sepenuhnya dengan masyarakat pelbagai kaum Malaysia dan mengamalkan perkongsian kuasa, saya percaya Malaysia suatu hari nanti akan ada perdana menteri berbangsa Cina," adalah permainan politik yang sangat licik dan nakal.

Beliau cuba menggambarkan seolah-olah masyarakat Cina di Malaysia ini begitu bersifat perkauman sehingga beliau sanggup menjadikan jawatan Perdana Menteri sebagai umpan untuk orang Cina jika kaum tersebut tidak rasis sebagaimana gambaran beliau itu.

Shahidan Kassim menjadikan jawatan Perdana Menteri itu seolah-olah motivasi kepada kaum Cina, kononnya sebagai balasan untuk tidak bersifat perkauman.

Ini bukan sahaja satu gambaran buruk dan salah, malah ia merupakan satu penghinaan terhadap masyarakat tersebut. Kaum Cina, Melayu atau kaum apa pun, tidak semestinya mahukan jawatan Perdana Menteri itu diisi berdasarkan keturunan, tetapi berdasarkan merit yakni karisma, kebolehpercayaan dan sifat amanah. Inilah kriteria untuk seseorang yang ingin menjadi Perdana Menteri selain harus mendapat sokongan rakyat terbanyak, sebagaimana yang diperlihatkan dalam jumlah undi popular kepada Pakatan Rakyat sebanyak 51% pada PRU ke 13.

Jika anggapan beliau bahawa hanya kaum Cina sahaja yang menolak BN dalam PRU 13 yang lalu, maka anggapan itu silap kerana terbukti wakil PAS dan PKR juga mendapat sokongan majoriti dari pelbagai bangsa. Bukan satu bangsa sahaja menolak UMNO BN, tetapi seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum.

Jika anggapan beliau bahawa kaum Cina menolak BN kerana termakan hasutan DAP, maka beliau juga silap kerana semua rakyat tidak kira Melayu, Cina atau India menolak UMNO BN kerana politik kotor dan budaya rasuah dalam BN disamping yakin dengan PR sepertimana contoh prestasi kerajaan PR yang cemerlang di Selangor dan Pulau Pinang.

Hakikatnya, rakyat Malaysia mahukan perdana menteri termasuk menteri kabinet yang amanah, bersih dan tidak perkauman. Ingin kita ungkapkan disini "Jika Shahidan Kassim bersedia melangkah melangkaui sempadan kaum, bercampur sepenuhnya dengan masyarakat pelbagai kaum Malaysia dan mengamalkan perkongsian kuasa, saya percaya Malaysia suatu hari nanti akan ada perdana menteri dari Perlis,". Jika Shahidan Kassim juga tidak perkauman, beliau juga boleh jadi Perdana Menteri, apa salahnya.

Mahdzir Ibrahim Setiausaha Politik kepada Pengarah Pendidikan Politik DAP