Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang baru perlu mengejar masa yang terbuang di bawah menteri-menteri lama

Saya ingin menggesa Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru supaya segera memenuhi tuntutan komuniti, terutamanya wanita-wanita Penan dan Kumpulan Penyokong Penan (Penan Support Group) iaitu melaksanakan cadangan-cadangan daripada Laporan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan yang diterbit pada tahun 2008 untuk menyelesaikan masalah-masalah komuniti Penan seperti penderaan seksual, pendaftaran kewarganegaraan, pendidikan dan kesihatan.

Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang pernah menyandang jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Ng Yen Yen, Shahrizat Abdul Jalil dan Najib Razak telah gagal untuk menanangi isu-isu gender dan di bawah mereka, perjuangan keadilan gender dan hak asasi wanita telah jauh ketinggalan. Malah semasa Perdana Menteri Najib Razak memegang jawatan tersebut, beliau telah menunjukkan betapa beliau tidak memahami situasi dan cabaran yang dihadapi wanita apabila beliau menyatakan bahawa sudah tidak perlu lagi pergerakan hak asasi wanita di negara ini.

Sehingga kini, masih banyak lagi agenda yang dituntut oleh perjuangan keadilan gender di Malaysia yang belum lagi terlaksana. Antaranya,

  1. Malaysia masih belum berupaya memenuhi saranan CEDAW iaitu sekurang-kurangnya 30% wanita di peringkat pembuat keputusan. Parlimen ke-13 yang akan bersidang minggu depan tidak menampakkan sebarang peningkatan dalam keahlian wanita. Perwakilan wanita di DUN pula hanya meningkat dari 8% ke 11%;

  2. kadar pendakwaan kes rogol di mahkamah yang rendah iaitu hanya 1 dalam 10 kes yang dilaporkan (AWAM, The Rape Report 2002) dan kadar perogol disabitkan kesalahan hanya antara 4-6% (WCC, 2008);

  3. daftar nama pesalah jenayah seksual yang dijanjikan masih menjadi tanda tanya tentang perlaksanaannya;

  4. Akta Gangguan Seksual yang telah diperjuangkan sejak 2001 masih belum dibentangkan;

  5. larangan perkahwinan kanak-kanak belum terlaksana dan statistik kes rogol bawah umur (statutory rape) yang membimbangkan serta ketiadaan penyelesaian yang baik daripada pihak kerajaan;

  6. penyertaan wanita dalam pasaran kerja tidak meningkat, dengan kadar penyertaan tenaga buruh wanita (female labour participation rate) terbantut pada kadar 40% sejak 20 tahun yang lalu, dan

  7. tiada perlaksanaan bajet responsif gender (gender responsive budget) secara menyeluruh di peringkat Persekutuan walaupun projek perintis (pilot project) selesai dilaksanakan pada 2003.

Justeru, saya menyeru Menteri yang baru supaya segera melaksanakan perkara-perkara ini bagi mengejar masa yang telah terbuang di bawah ketiga-tiga menteri yang lama.

Saya berjanji akan mengikuti perkembangan isu-isu ini dalam sidang Parlimen yang akan datang. Sebelum ini, saya juga telah menghantar soalan-soalan Parlimen tentang perkahwinan kanak-kanak dan juga isu keganasan rumah tangga.

Steven Sim Chee Keong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY & Ahli Parlimen Bukit Mertajam