Tuduhan Jenice Lee tidak berasas

Tuduhan mantan Ahli Dewan Negeri Selangor kawasan Teratai Jenice Lee Ying Ha bahawa Mesyuarat-mesyuarat Agung Tahunan (MAT) cawangan-cawangan DAP di kawasan Pandan dan Ampang dilaksanakan secara tergesa-gesa dan tidak rasmi, seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media yang dikuasai atau mempunyai hubungan rapat dengan Barisan Nasional (BN), ialah tuduhan liar dan tidak berasas.

Beliau juga menuduh bahawa terdapat ahli-ahli cawangan yang tidak menerima pemberitahu untuk menghadiri MAT pada 19 Jun 2013. Beliau juga menuduh ramai daripada mereka yang hadir ialah muka-muka baru yang belum pernah beliau jumpa sebelum ini.

Cawangan-cawangan yang dimaksudkan ialah Cawangan Tasik, Taman Putra, Pandan Jaya, Taman Muda, Pandan Perdana, Taman Cheras Hartamas, Taman Kencana, Saga dan Bukit Bermai.

Sebagai Setiausaha Organisasi DAP Selangor, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengendalikan MAT untuk setiap cawangan secara adil, profesional dan saksama. Adalah amat penting juga untuk saya sebagai pemegang jawatan agar tidak terlibat dalam sebarang perbalahan peribadi sesama ahli.

Walaupun begitu, tuduhan Jenice Lee telah menjejaskan reputasi saya sebagai Setiausaha Organisasi DAP Selangor dan saya kesal dan kecewa dengan tindakan beliau ini.

Jawatankuasa Negeri Selangor telah dimaklumkan tentang pemecatan lapan orang ahli DAP daripada beberapa cawangan di kawasan Parlimen Ampang dan Pandan termasuk Jenice Lee sendiri. Memandangkan kebanyakan daripada mereka ini memegang jawatan-jawatan penting dalam cawangan sebelum dipecat, maka Jawatankuasa Negeri telah membuat keputusan agar pemberitahu mesyuarat akan diuruskan dan dihantar oleh Ibu Pejabat DAP Selangor kepada setiap ahli berbayar melalui pos biasa.

Bagi cawangan-cawangan yang tidak terjejas, Jawatankuasa Negeri memutuskan agar notis dihantar kepada Setiausaha dan Pengerusi Cawangan oleh Ibu Pejabat DAP Selangor dan kemudian pemberitahu dikeluarkan oleh Setiausaha Cawangan itu kepada ahli cawangan masing-masing, seperti yang dikehendaki dalam Perlembagaan DAP.

Selain itu, Ibu Pejabat DAP Selangor juga menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada setiap ahli berbayar yang menggunakan telefon bimbit. Kedua-dua pemberitahu dan mesej SMS dihantar tujuh hari sebelum hari mesyuarat mengikut ketetapan dalam Perlembagaan DAP.

Jawatankuasa Negeri tidak menjalankan MAT-MAT ini tergesa-gesa kerana ianya memang perlu dijalankan pada bulan Mei dan Jun setiap tahun. Jawatankuasa Negeri juga tiada masalah dengan tempat mesyuarat kerana ianya merupakan sebuah bangunan tertutup.

Jenice Lee tidak harus lupa bahawa beliau pernah menggunakan tempat yang sama untuk menjalankan MAT-MAT sebelum ini apabila beliau masih bersama DAP. Justeru itu, saya tidak nampak apa-apa masalah besar sekiranya tempat yang sama dipillih semula. Mengapa ianya menjadi masalah sekarang sedangkan dahulu tidak?

Tuduhan bahawa ramai yang hadir ialah muka-muka baru yang tidak pernah beliau jumpa sebelum ini juga ialah tuduhan liar seolah-olah terdapat ahli-ahli hantu. Ingin saya menegaskan bahawa semua yang hadir dalam MAT ialah mereka tersenarai sebagai ahli berbayar dalam cawangan tersebut. Saya dan petugas-petugas saya telah mengambil masa lebih daripada satu jam untuk mengesahkan identiti semua ahli yang hadir untuk memastikan hanya ahli-ahli sah sahaja yang berhak mengambil bahagian dalam MAT-MAT.

Terdapat juga dua cawangan, iaitu cawangan Tasik dan Taman Putra, yang tidak mencapai kuorum dan saya membuat keputusan untuk menangguhkan MAT untuk kedua-dua cawangan ini. Adakah benar saya hendak menjalankan MAT cawangan secara tergesa-gesa sedangkan saya perlu menangguhkan MAT kedua-dua cawangan ini?

Justeru itu, Jenice Lee juga tidak harus melemparkan tuduhan liar terhadap saya kerana terdapat juga cawangan yang berjaya menjalankan MAT pada 19 Jun dan meluluskan usul menyokong beliau. Lebih-lebih lagi, saya membenarkan Jenice Lee untuk terus berada di tempat kejadian walaupun beliau pada masa itu sudah bukan ahli DAP dan tiada hak untuk berada di situ.

Kesemua ini jelas menunjukkan bahawa MAT-MAT yang berlangsung pada 19 Jun dijalankan dalam suasana yang aman, profesional dan adil. Oleh itu, saya menggesa Jenice Lee untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang akan menjejaskan integriti saya dalam menjalankan tugas saya sebagai Setiausaha Organisasi DAP Selangor, lebih-lebih Jenice Lee memilih untuk bersuara melalui media-media yang dikuasai oleh lawan DAP. Jika Jenice Lee ikhlas untuk menyertai semula DAP, beliau harus berhenti berbuat demikian.

Lau Weng San Setiausaha Organisasi Negeri DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku