EAIC sah hilang kebolehpercayaan umum, perlu dibubar segera dan diganti dengan IPCMC

Setelah lebih seminggu kami mendedahkan kepincangan dalam lantikan Mohd Nadzri Ibrahim sebagai ahli pasukan petugas Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan, akhirnya beliau telah digugurkan.

Ini secara langsung mengesahkan dakwaan kami bahawa EAIC sudah hilang kebolehpercayaan umum dan patut dibubarkan serta digantikan dengan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) seperti yang telah disyorkan oleh Laporan Dzaiddin 2005.

EAIC terlalu banyak kelemahan

Mutakhir ini, integriti EAIC makin dipersoalkan akibat pembongkaran pelbagai kelemahan dalam badan tersebut, termasuk:

  1. Isu Mohd Nadzri Ibrahim, iaitu pegawai penyiasat tunggal EAIC yang juga telah dilantik untuk menganggotai pasukan petugas khas untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan. Beliau bukan sahaja pernah terlibat dalam kes mendiang Teoh Beng Hock, tetapi merupakan salah seorang pegawai yang telah disaran oleh Majlis Peguam untuk dikenakan siasatan lanjutan atas dakwaan mengusik bahan bukti.

  2. Seorang pesuruhjaya EAIC, Datuk Salehuddin Saidin, telah didedahkan sebagai peguambela kepada salah seorang pegawai polis yang terlibat dalam kes kematian dalam tahanan N. Dharmendran. Beliau telah menarik diri sebagai peguambela setelah dikenalpasti oleh Pakatan Rakyat.

  3. Pengerusi EAIC Datuk Heliliah Mohd Yusof bertindak “lebih BN dari BN” apabila mengeluarkan kenyataan media yang mencemuh pembangkang dengan berkata “sudah menjadi sikap pemimpin pembangkang sentiasa mengkritik terutamanya terhadap kerajaan”.[1]

  4. EAIC umpama harimau tidak bertaring kerana hanya mampu memberikan cadangan jika mendapati seseorang pegawai itu bersalah dan tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan sebarang tindakan penguatkuasaan. Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid sendiri telah menyatakan bahawa RM14 juta telah dibelanjakan dalam tempoh masa dua tahun dan hasilnya hanya dua amaran dan satu kes disiplin.

EAIC hanya badan sementara dengan pegawai-pegawai pinjaman?

Walaupun diperuntukkan berjuta-juta ringgit setahun, EAIC tidak dilaksanakan dengan serius. Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif EAIC Nur Afizah Hanum telah mengakui bahawa mereka hanya mempunyai seorang pegawai penyiasat untuk menyiasat 19 agensi kerajaan. Tambahan pula, jawatan yang sangat penting itu merupakan pegawai pinjaman daripada agensi kerajaan yang lain.

Adakah EAIC ini hanya sebuah badan sementara? Selain daripada pegawai penyiasat kanan, berapa ramai lagikah pegawai EAIC yang dipinjam daripada agensi lain? Adakah mereka masih menjawab kepada agensi asal mereka ataupun kepada EAIC? Tidakkah percanggahan boleh berlaku apabila mereka terpaksa menyiasat agensi-agensi asal mereka? Dan adakah mereka mempunyai kelayakan yang sesuai memandangkan kerja mereka di EAIC bukan tugas asal mereka?

BN enggan menubuhkan IPCMC kerana rakus kuasa

Hakikatnya, salah satu sebab utama EAIC ditubuhkan adalah untuk mengelak berlakunya salah guna kuasa yang membawa kepada kematian dalam tahanan. Namun demikian, kes-kes kematian dalam tahanan makin meningkat dengan sembilan kes dalam enam tahun pertama tahun ini termasuk empat kes berprofil tinggi dalam beberapa minggu yang lepas.

EAIC bukan sahaja tidak dapat memenuhi matlamat utamanya, ia juga tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Tambahan pula dengan kepincangan-kepincangan yang telah didedahkan baru-baru-ini, adalah jelas EAIC sudah menjadi satu kegagalan besar kerajaan pimpinan Dato’ Sri Najib Razak dan harus dimansuhkan dengan serta merta.

Justeru, kami tidak berganjak dan terus menggesa kerajaan pusat untuk menubuhkan IPCMC serta membebaskan agensi-agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan SPRM daripada pengaruh politik. Sandiwara EAIC yang bertujuan untuk menarik perhatian daripada kegagalan kerajaan untuk menubuhkan IPCMC harus dihentikan segera.

Kami juga menegaskan bahawa IPCMC diberi kuasa bukan sahaja untuk mendakwa dan mengambil tindakan ke atas pegawai-pegawai yang bersalah, tetapi juga diberi kuasa dalam hal kenaikan pangkat dalam PDRM. Ini adalah untuk menjamin kenaikan pangkat pegawai polis dilakukan dengan telus dan berdasarkan kebolehan dan bukan kabel politik semata-mata.

Pelaksanaan IPCMC yang betul akan memperkukuhkan PDRM dan akhirnya mengembalikan maruah dan profesionalisme pasukan Polis Diraja Malaysia.

Steven Sim Chee Keong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY & Ahli Parlimen Bukit Mertajam Zairil Khir Johari Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Bukit Bendera