Siapakah dua mangsa yang dibunuh dalam tahanan?

Kenyataan Menteri Dalam Negeri berhubung dengan isu kematian dalam tahanan adalah sangat mengelirukan dan memesongkan dewan yang mulia. Mengikut rekod yang diberikan oleh beliau sebanyak 231 kematian dalam tahanan telah berlaku dari tahun 2000 hingga tahun 2013. Daripada jumlah itu hanya 2 tahanan sahaja yang mati kerana keganasan polis. Menurut beliau, yang lain mati kerana penyakit, bunuh diri dan tergelincir dalam dalam sel.

Kenyataan beliau amat mengelirukan dan berniat semata-mata untuk membersihkan nama PDRM di kaca mata rakyat. Rakyat tahu dan sentiasa mengikut perkembangan dalam banyak kes-kes kematian dalam tahanan yang dikesan berlumuran darah dan kecederaan fizikal. Tetapi, kenyataan Menteri Dalam Negeri pula cukup aneh dan tidak boleh dipercayai. Kenyataan beliau adalah tidak bertanggungjawab kerana ini akan menjadi satu kesinambungan jika perkara yang sebenar tidak didedahkan.

Saya juga berminat untuk mengetahui siapakah 2 orang yang mati dalam tahanan polis itu. Ini adalah penting untuk menjelaskan pelbagai pertikaian yang timbul di kalangan rakyat.

V. Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & Ahli Parlimen Batu Gajah