Menteri Pendidikan kata pelajar India yang tidak layak diberi matrikulasi

Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pendidikan sekali lagi telah mengeluarkan kata-kata yang menghina kaum India dalam Dewan Rakyat. Untuk menjawab soalan samada kerajaan benar- benar menawarkan 1500 tempat matrikulasi untuk pelajar-pelajar India, beliau berkata kerajaan telah menepati janji dengan memberikan 1500 tempat itu pada tahun 2012. Beliau tambah dengan mengatakan bahawa 1800 tempat matrikulasi kepada pelajar-pelajar India pada tahun 2013.

Dalam menjawab soalan itu, beliau juga telah menghina kaum India dengan mengatakan bahawa untuk memenuhi kuota yang dijanjikan terpaksa memberi tempat kepada pelajar-pelajar yang tidak layak. Beliau berkata piawaian yang ditetapkan terpaksa diturunkan untuk memberi ruang kepada pelajar-pelajar India yang tidak layak semata-mata untuk menepati janji yang ditepati.

Ucapan Timbalan Perdana Menteri itu memang satu penghinaan kepada kaum India. Adakah benar bahawa pelajar-pelajar India yang kelayakannya lebih rendah daripada pelajar-pelajar lain diberi tempat matrikulasi pada tahun 2012 dan 2013? Tan Sri Muhyuddin Yassin telah mengeluarkan kata-kata yang menghina masyarakat India dan beliau harus bertanggungjawab terhadap kenyataannya itu.

Beliau mesti memberi senarai pelajar-pelajar India yang diberikan tempat matrikulasi pada tahun 2012 dan 2013. Beliau juga perlu membuktikan tempat matrikulasi diberikan kepada pelajar-pelajar India yang kurang layak daripada pelajar-pelajar yang lain.

V. Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & Ahli Parlimen Batu Gajah