Menteri Sumber Manusia, Richard Riot, perlu menjelaskan perincian ijazah-ijazah beliau

Apabila didedahkan bahawa Datuk Richard Riot telah mendapat ijazah sarjana muda dan Ijazah Sarjana daripada kilang ijazah, Menteri menjawab dengan mengatakan bahawa beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Sumber Manusia daripada University of Hertfordshire, London.

Menteri juga dilaporkan telah berkata bahawa “beliau tidak tahu di mana Ong mendapat maklumat mengenai ‘ijazah palsu’ dan bahawa sumber maklumat itu tidak penting.” Lampiran 1 di bawah menunjukkan bahawa ia adalah laman web Kementerian Luar Negeri yang menyenaraikan Richard Riot sebagai telah “memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta pada tahun 1994 dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Preston University, Amerika Syarikat.” Pada 11:52, 26 Jun 2013, laman web Kementerian Luar Negeri masih menunjukkan biodata Richard Riot ini walaupun beliau tidak lagi Timbalan Menteri Luar Negeri.

Kami menyeru Menteri untuk menjelaskan mengapa Kementerian Luar Negeri, di mana beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri dalam penggal Parlimen sebelum ini, menyenaraikan kelayakan beliau sebagai sedemikian dan bukannya apa yang Menteri sebut bahawa beliau telah mendapat Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dari University of Hertfordshire sepertimana yang dilaporkan dalam pelbagai laman online semalam (26 Jun 2013).

Kami juga ingin menyatakan bahawa laman web Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi tidak lagi menunjukkan butir-butir Menteri sekarang, Datuk 'Dr' Ewon Ebin pada 12.01, 27 Jun 2013.

Kami melampirkan ‘Screenshot’ yang diambil daripada laman web MoSTI sebelum butir-butir ini dikeluarkan yang menunjukkan bahawa Menteri mendapat ijazah daripada Golden State University, Wyoming, Amerika Syarikat.

Kami menyeru Menteri, Datuk 'Dr' Ewon Ebin untuk menjelaskan sama ada beliau memperolehi Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Commonwealth Open University dan Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan (DBA) daripada Golden State University, Wyoming, Amerika Syarikat.

Akhir sekali, kami menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk meminta perletakan jawatan serta-merta salah seorang atau kedua-dua Menteri tersebut sekiranya mereka tidak ikhlas mengenai kelayakan pendidikan mereka, atau telah memperolehi ijazah 'ragu' daripada kilang ijazah.

Dr. Ong Kian Ming Ahli Parlimen Kawasan Serdang Zairil Khir Johari Ahli Parlimen Kawasan Bukit Bendera