DAP akan membangunkan Rangkaian Ubah Luar Negara untuk mendekati dan menyuarakan kebimbangan rakyat Malaysia di luar negara

DAP akan membangunkan Rangkaian Ubah Luar Negara untuk mendekati dan menyuarakan kebimbangan rakyat Malaysia di luar negara; serta melantik Naib Pengerusi DAP Teresa Kok sebagai Pegawai Perhubungan Politik Kerajaan Negeri Selangor dan tiga ahli majlis pimpinan Pakatan Rakyat bagi Kerajaan Negeri Selangor mewakili DAP iaitu Tony Pua, Teng Chang Khim dan Gobind Singh Deo. Ini telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 5 Jun 2013.

Mesyuarat tersebut memberi fokus kepada serangan tanpa henti oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan penglibatan media kawalan BN terutamanya akhbar New Straits Times dan Utusan Malaysia untuk mengutuk DAP dengan pelbagai penipuan tentang kejanggalan dan pelanggaran undang-undang dalam Kongres Kebangsaan DAP demi membina alasan bagi mengharamkan parti DAP. CEC DAP secara terang mencela perbuatan jahat BN yang cuba mewujudkan penipuan kononnya tidak ada notis diberikan kepada lebih 700 perwakilan sedangkan sebenarnya notis telah dihantar.

Malah surat siasatan ROS tentang kegagalan menghantar notis pun merujuk hanya 4 cawangan dengan kurang daripada 15 perwakilan, BUKAN lebih 700 perwakilan. Dan 3 daripada 4 cawangan yang dimaksudkan telah pun menghantar perwakilan ke Kongres Kebangsaan DAP pada bulan Disember tahun lalu. DAP akan terus tabah dan mempertahankan status parti di luar dan dalam mahkamah berikutan usaha BN untuk menang dengan taktik kotor dengan mengharamkan DAP selepas mereka kalah teruk dalam pilihan raya umum tahun 2013. Dua calon DUN BN hilang wang deposit apabila kalah kepada DAP, pertama kali ini berlaku dalam sejarah pilihanraya.

Bukan sahaja BN kalah kepada DAP dalam PRU ke 13 dengan DAP memenangi 38 daripada 51 kerusi Perlimen yang ditandingi dan 95 daripada 103 kerusi DUN, malah BN juga kalah kepada Pakatan Rakyat apabila ia menang undi popular sebanyak 51% untuk pertama kali dalam sejarah berbanding 48% undi popular BN. BN sedang cuba balas dendam dengan berusaha untuk membatalkan pendaftaran DAP secara tidak sah berdasarkan penipuan tidak berasas dan mendakwa pemimpin PKR, PAS dan DAP dengan dakwaan remeh di mahkamah untuk membatalkan kelayakan wakil rakyat yang sudah dilantik.

CEC DAP juga menekankan bahawa keputusan PRU ke 13 bukanlah Tsunami CIna tetapi tsunami rakyat bandar Malaysia dari semua kaum terhadap BN. DAP bukan sahaja mempunyai wakil rakyat Cina, India dan Melayu tetapi turut menang di kawasan majoriti Melayu seperti di DUN Mentakab dengan komposisi kaum 52% Melayu, 40% Cina, 6% India dan 2% lain-lain; dan juga Parlimen Raub dengan 50% Melayu, 40% Cina, 6% India dan 4% lain-lain.

Jelas sekali, tindakan BN menjadikan keputusan pilihanraya sebagai isu perkauman bukan sahaja tidak bertanggungjawab dan merbahaya malah memperlihatkan wajah sebenar mereka yang sangat cela dengan ideologi perkauman, seperti yang diamalkan oleh pemimpin Nazi Adolf Hitler dan rejim apartheid Afrika Selatan.

Rangkaian Ubah (Ubah Networks)

CEC DAP akan membangunkan Rangkain Ubah untuk mendekati 500,000 rakyat Malaysia di luar negara terutamanya di Singapura, Eropah, Amerika, Australia dan Asia-Pasifik. Rangkaian Ubah ini akan dipimpin oleh Setiausaha Antarabangsa DAP yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah, Sdr Sivakumar Varatharaju Naidu. Jawatankuasa Rangkaian Ubah ini akan diumumkan kemudian. Kepentingan warga Malaysia yang menetap di luar negara semakin meninggi berikutan perakuan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan pengundian luar negara di Kedutaan Malaysia sewaktu pilihan raya ini.

Malangnya, jumlah yang keluar mengundi sangat tidak memuaskan. Di Great Britain, dengan hampir 80,000 warga Malaysia, hanya 1,200 yang mengundi di Kedutaan Malaysia di London. Ada lebih banyak ruang dan peluang untuk mendapatkan sokongan daripada 500,000 rakyat Malaysia luar negara yang layak mengundi tetapi tidak berbuat demikian.

Selangor

CEC DAP mencadangkan supaya Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok memegang jawatan Pegawai Perhubungan Politik kepada Kerajaan Negeri Selangor dengan status dan syarat lantikan yang serupa dengan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution. Cadangan lantikan Teresa ini adalah bertujuan untuk memastikan keseimbangan dan bahawa DAP adalah rakan kongsi sekata dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Dalam hal ini, PAS juga patut mempunyai seorang Pegawai Perhubungan Politik.

Dalam hal tiga wakil rakyat DAP Selangor dalam majlis pimpinan Pakatan Rakyat Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan isu rakyat dalam kerajaan negeri, CEC DAP melantik Sdr Tony Pua, Sdr Teng Chang Khim dan Sdr Gobind Singh untuk menganggotai majlis sepuluh orang tersebut yang dipengerusikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan