Sidang Parlimen Malaysia yang baru mesti meminda Akta Kualiti Alam Sekitar bagi menghukum syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa yang menyumbang kepada jerebu

DAP menyeru supaya undang-undang baru digubal oleh sidang Parlimen Malaysia yang baru agar meminda Akta Kualiti Alam Sekitar bagi menghalang mana-mana syarikat daripada menyumbang kepada jerebu yang begitu teruk dan merbahaya yang sedang melanda Malaysia dan Singapura yang boleh membawa kesan buruk terhadap kesihatan terhadap populasi yang berkenaan. Begitu teruk sekali jerebu ini sehingga 200 buah sekolah di Muar, Batu Pahat dan Pasir Gudang terpaksa ditutup.

Rakyat sedang menantikan sebarang bentuk tindakan langsung daripada wakil mereka di Parlimen. Saya akan mengarahkan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching untuk mengemukakan cadangan tersebut melalui suatu usul segera di Parlimen minggu hadapan.

Cadangan undang-undang sedemikian mestilah menjadi tugasan kumpulan Ahli Parlimen yang baru, di mana undang-undang tersebut akan membenarkan Malaysia mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa yang beroperasi di Malaysia yang menyumbang atau bertanggungjawab atau pun memainkan peranan secara langsung atau tidak langsung dalam kebakaran merentas sempadan di Indonesia yang mengakibatkan pencemaran meningkat ke tahap yang amat merbahaya, yang akan mengakibatkan kesan buruk terhadap kesihatan dan kerugian ekonomi di rantau ini.

Ini berikutan komen daripada seorang Menteri Senior Indonesia, Agung Laksono bahawa pelabur besar dalam industri minyak kelapa sawit, termasuk syarikat Malaysia mungkin bertanggungjawab kerana dengan sengaja membakar hutan bagi tujuan membuka lebih banyak ladang tanaman. Pada masa yang sama Indonesia sepatutnya mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap kebakaran terbabit, termasuk mana-mana syarikat perladangan Malaysia yang bersalah menyebabkan pembakaran terbuka dengan hukuman penjara, denda yang tinggi dan dipertanggungjawabkan ke atas sebarang kerosakan yang berlaku.

Malangnya, Indonesia adalah satu-satunya negara ASEAN yang tidak meratifikasi Perjanjian Southeast Asian Transboundary Haze Agreement (SEATHA) yang membenarkan 10 negara anggota ASEAN untuk bekerjasama bagi mencegah dan memadamkan kebakaran hutan. Indonesia harus bertanggungjawab penuh di atas kegagalannya memenuhi tuntutan antarabangsa kepada ASEAN dan Malaysia di bawah rancangan kerjasama pencemaran rentas sempadan ASEAN untuk mencegah jerebu yang disebabkan oleh pembakaran hutan secara haram.

Perkara yang berlaku secara tahunan ini telah berulang untuk lebih 20 tahun namun masalahnya masih belum selesai. Malaysia telah mengalami dua jerebu teruk setakat ini, satu pada tahun 1997 dan satu lagi pada tahun 2005. Pada September 1997, di saat indeks pencemaran udara di Sarawak melampaui paras 600, kerajaan terpaksa mengumumkan darurat, sehingga hanya farmasi, klinik, kedai dan perkhidmatan keperluan sahaja yang dibenarkan beroperasi, mengakibatkan kerugian ekonomi bernilai hampir $9 bilion di Asia Tenggara.

Malaysia sudah cukup menderita dari segi masalah kesihatan dan kerugian ekonomi. Kerajaan Persekutuan BN mesti mendesak ratifikasi segera perjanjian SEATHA 2002 di persidangan Asean bagi menyelesaikan masalah ini secara bersama. Sebarang tindakan yang tidak mencapai tahap tersebut pastilah tidak bermakna dan anak-anak kita hanya boleh menanti untuk menderita daripada kejadian jerebu yang serupa saban tahun.

Kerajaan Persekutuan, serta Kerajaan Negeri Johor dan Melaka sepatutnya melaksanakan pembenihan awan dengan segera di tempat-tempat yang paling teruk dilanda jereby bagi menurunkan hujan sebagai usaha untuk mengawal jerebu yang semakin teruk. DAP menyarankan orang ramai supaya tidak keluar rumah jika boleh dan tidak terlibat dalam aktiviti luar. Jabatan Alam Sekitar juga seharusnya menguatkuasakan larangan pembakaran terbuka dalam masa kritikal ini.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan