Semua kawasan dengan bacaan API 300 atau lebih perlu diisytiharkan darurat

Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Abdul Razak tidak harus menuruti sikap sikap tidak acuh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar G. Palanivel dalam menangani krisis jerebu dengan mengisyitiharkan Darurat di Muar Dan Ledang, hanya setelah bacaan API mencecah 746 pada 23.6.2013. Apa yang lebih mengejutkan adalah Palanivel lebih sibuk untuk menyiapkan tempat panda berbanding bertindak serta-merta dalam isu jerebu.

Jabatan Alam Sekitar menyatakan bacaan API yang melebihi 300 adalah merbahaya kepada kesihatan. Maka setiap kawasan dengan bacaan API melebihi 300 harus diletakkan dalam keadaan Darurat, bukan hanya setelah mencecah 700. Dalam kata lain, Melaka seharusnya diletakkan dalam keadaan Darurat kerana bacaan API yang melebihi 300.

Ramai yang telah jatuh sakit di Johor, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan. Semua pengtua dan guru besar sekolah di kawasan dengan bacaan API melebih 100 harus diberikan kuasa budi bicara memutuskan untuk menutup sekolah dan mana-mana sekolah yang melebihi bacaan API 150 harus ditutup serta merta.

Meskipun situasi jerebu di Pulau Pinang kini terkawal, saya telah mengarahkan Setiausaha Negeri, Dato Farizan bin Darus dan EXCO Alam Sekitar menambah bekalan topeng muka, khasnya versi N95. Masalahnya, topeng muka industri N95 yang diperlukan apabila bacaan API mencecah paras bahaya, telah kehabisan stok apabila kerajaan Singapura bertindak proaktif dengan membeli sejuta topeng N95 untuk diagihkan kepada warganya.

Tindakan tidak bertangungjawab dan tidak acuh Kerajaan Persekutuan telah menyebabkan Malaysia ketinggalan berbanding Singapura sekali lagi. Najib mengatakan bahawa semua kementerian dan agensi yang terlibat di peringkat persekutuaan, negeri dan daerah mesti merangka dan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan keselamatan dan kesihatan awam dipelihara.

Saya telah mengarahkanSetiausaha Negeri dan Phee untuk mengadakan mesyuarat dan mengerahkan pegawai mereka bersedia untuk melaksanakan garis panduan dan pelan tindakan sedia ada bagi berdepan dengan jerebu yang mungkin melanda Pulau Pinang. Sementara itu, warga Pulau Pinang hanya mampu berdoa agar jerebu tidak merebak ke negeri ini.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang