Politik Dendam Hanya Akan Menghancurkan Aspirasi untuk Melaksanakan Transformasi Negara kepada Ekonomi Membangun Berpendapatan Tinggi Menjelang 2020

Bank Dunia adalah tepat apabila menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 5.1 peratus pada 2013 dan 2014, maka wujud keperluan untuk mempercepatkan reformasi struktural bagi memastikan kerencaman dan kedinamikan ekonomi negara. Menurut Bank Dunia kebergantungan berlebihan kepada komoditi seperti minyak mentah, gas asli, getah dan sawit yang kini mengalami kejatuhan harga, berbanding pembuatan telah memberikan tekanan terhadap kadar pembangunan bagi negara pengeksport komoditi seperti Malaysia.

Malaysia harus mempercepatkan reformasi struktural bagi memastikan ekonomi kekal rencam dan dinamik. Cabarannya sama ada Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional mampu melaksanakan dasar ekonomi ini atau masih terperangkap dalam kemarahan kerana menjadi kerajaan minoriti akibat kehilangan undi popular dengan memenangi hanya 47% pada pilihan raya umum yang lalu.

Tindakan dendam Kerajaan Negeri Melaka yang menutup pusat kegiatan perniagaan malam Jonker Walk sebagai balasan kerana kekalahan banyak kerusi dalam pilihan raya yang lalu tidak mencerminkan pembuatan dasar yang bertanggungjawab dan pembinaan negara-bangsa. Kegagalan menyatukan rakyat dan malahan kelihatan semakin memecah-belahkan serta mendiskriminasi warga Malaysia hanya akan memburukkan ekonomi negara yang sedia sarat dengan korupsi termasuk kadar aliran keluar wang negara per kapita tertinggi di dunia. Di samping peningkatan hutang negara yang menakutkan daripada RM266 billion pada hujung 2007 kepada RM502 billion pada akhir 2012.

Fokus BN terhadap politik dendam ini hanya akan menghancurkan aspirasi untuk melaksanakan transformasi negara kepada ekonomi membangun berpendapatan tinggi menjelang 2020 jika tiada tumpuan kepada reformasi struktur ekonomi terhadap kelebihan daya saing dan komparatif dan juga mempelbagaikan sektor pembangunanan negara. Sikap dangkal ini dapat dilihat melalui keengganan BN untuk memanfaatkan klauster sedia ada di Pulau Pinang yang bertaraf antarabangsa dan diiktiraf dunia seperti dalam sektor elektrikal dan elektronik, peralatan perubatan dan industri ero-angkasa.

Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional kelihatan memberi tumpuan kepada politik kepartian dengan mengabaikan negeri yang memiliki kelebihan bandingan dan berdaya saing seperti Pulau Pinang, dengan mencurahkan wang dalam membina dari awal infrastruktur asas di negeri selain negeri PR. Tindakan ini mengakibatkan pembuatan berteknologi tinggi menurun dan meningkatkan kebergantungan kepada komoditi sebagai bahagian eksport Malaysia.

Sebagaimana yang dinasihatkan oleh Bank Dunia, bagi mencapai matlamatnya menjadi negara berpendapatan tinggi, Malaysia harus terus menggilap bakat dan membina institusi yang menyokong kerencaman ke arah pelaburan dengan pulangan tinggi melalui peningkatan modal insan. Dasar seperti membenarkan hanya mereka yang bekerja di Wilayah Iskandar menikmati kadar cukai peribadi pada kadar rata 15% adalah suatu tindakan diskriminasi dan sepatutnya di perluaskan ke seluruh negara.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang