Kabinet perlu menarik balik Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan)

Kabinet perlu menarik balik Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) untuk memberi masa kepada rakyat Malaysia mencapai muafakat tentang pertukaran agama kanak-kanak di bawah umur agar selari dengan tujuan Perkara 12(4) Perlembagaan Persektuan yang dibaca beserta dengan Perkara 160 dan Jadual Kesebelas, serta untuk mengukuhkan integriti keluarga, kebebasan beragama dan keharmonian masyarakat.

Bekas Menteri Kabinet dan pemimpin United Pasok Momogun Kadazandusun Murut Organisation (Upko) Tan Sri Bernard Dompok kelmarin menyebut bahawa peruntukan dalam Rang Undang-undang berkenaan bertentangan dengan konsep keterbukaan, kemenyeluruhan, dan kesederhanaan yang dibawa oleh 1Malaysia dan beliau mencadangkan agar Barisan Nasional membincangkan secara teliti isu ini dan isu-isu keagamaan yang berkaitan sebelum peruntukan berkenaan dibawa ke Parlimen.

Menurut Bernard, beberapa bulan lalu, ketika masih menjadi anggota Kabinet, beliau telah meminta agar kabinet menarik balik kertas cadangan berkenaan rang undang-undang itu kerana beliau merasakan keputusan Kabinet yang dibuat lebih awal, berkenaan Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Seksyen 107(b) dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang setebal 64 halaman dan mempunyai 116 Seksyen itu memperuntukkan bahawa persetujuan salah seorang ibu-bapa adalah memadai untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam. Hal ini bukan saja berlawanan dengan Perlembagaan tetapi juga bertentangan dengan keputusan Kabinet yang diumumkan pada 23 April 2009, iaitu bahawa agama seseorang kanak-kanak tidak boleh ditukar oleh ibu atau bapa secara sepihak.

MIC membuat kenyataan umum bahawa parti itu tidak dilibatkan dalam perbincangan tentang Seksyen 107(b) rang undang-undang berkenaan manakala Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu pula telah menyifatkan cadangan untuk memperkenalkan peruntukan tersebut sebagai “mengejutkan” dan “licik” dan beliau menganggap langkah tersebut berlawanan dengan perdamaian nasional yang sedang banyak diperkatakan.

Menurut beliau lagi, cadangan peruntukan itu berlawanan dengan keputusan bersama dalam kabinet pada 22 April 2009 yang menetapkan bahawa persetujuan kedua-dua ibu dan bapa diperlukan untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur.

Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) dan Majlis Peguam telah menyatakan kebimbangan tentang peruntukan berkenaan kerana sebarang pertukaran agama kanak-kanak secara sepihak oleh hanya salah seorang ibu atau bapa tidak adil bagi kanak-kanak di bawah umur terbabit, atau ibu, atau bapanya, selain ia bertentangan dengan perlembagaan serta salah dari segi moral dan etika.

Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan membincangkan peruntukan yang dicadangkan itu untuk mencari kesepakatan.

Sesuatu yang amat malang jika Parlimen ke-13 dimulakan dengan meluluskan satu peruntukan yang boleh memecahbelahkan negara serta membangkitkan persoalan asasi tentang integriti Perlembagaan dan juga kematangan para pemimpin negara dalam menyatukan dan bukannya memecahbelahkan kaum, agama, dan kebudayaan yang pelbagai yang membentuk Malaysia.

Atas sebab inilah Kabinet perlu menarik balik Seksyen 107(b) yang mengandungi ayat sepanjang dua baris dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang setebal 64 halaman dan mempunyai 116 Seksyen itu untuk memberi masa kepada rakyat Malaysia mencapai muafakat tentang pertukaran agama kanak-kanak di bawah umur agar selari dengan Perlembagaan serta untuk mengukuhkan integriti keluarga, kebebasan beragama dan keharmonian masyarakat.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah