Input berkaitan dengan 4 projek meleraikan kesesakan trafik lebuhraya akan diambilkira

Input daripada dailog dan taklimat rakyat selama 18 bulan ini berkaitan dengan projek meleraikan kesesakan trafik sebanyak 3 lebuhraya dan sebatang terowong bawah dasar laut antara Pesiaran Gurney dan Butterworth, akan diambilkira sebelum surat perjanjian muktamad dimeteraikan dengan pihak kontraktor dalam beberapa bulan lagi. Reaksi mereka, khususnya anak muda, yang menghadiri pelbagai dialog dan mesyuarat jelas menunjukkan sokongan kuat kepada inisiatif kerajaan negeri PR.

Beberapa hari lepas, dua perhimpunan di Seberang Perai Utara(SPU) telah menyokong cadangan kerajaan negeri PR membina 3 buah lebuhraya dan sebatang terowong bawah dasar laut yang menghubungi Pesiaran Gurney dan Bagan Ajam. Jamuan makan malam di kalangan masyarakat Cina pada malam Sabtu di Butterworth seramai 6,000 orang berdiri dan angkat tangan sebagai tanda sokongan manakala tidak ada sesiapa membantah dalam dialog bersama beratus-ratus orang Melayu di Dewan Sungai Dua, SPU.

Semalam kerajaan negeri telahpun mengumumkan lapuran Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang(PPIPP) yang jelas menggariskan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi kesesakan lalu-lintas. Adalah tidak benar dakwaan pihak tertentu bahawa projek terowong bawah dasar laut tidak termasuk dalam PPIPP.

Ada 3 sebab utama rakyat Seberang Perai Utara(SPU) menyokong 4 projek yang bernilai RM6.3 bilion:-

  • Memudahkan perjalanan trafik di antara SPU dan pulau yang dengan sendirinya akan mengurangkan kesesakan trafik;

  • Menolak cadangan pihak yang menentang projek ini untuk mengenakan bayaran masuk bagi setiap kenderaan yang masuk ke Pulau Pinang agar mengurangkan kesesakan trafik; dan

  • Memajukan dan menggerakan pertumbuhan ekonomi di SPU supaya ia tidak terpinggir selepas Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan pun ada jambatan ke Pulau Pinang.

Kerajaan BN Akan Cuba Sabotaj Dan Gagalkan Projek Ini Seperti Yang Dibuat Ke atas Usaha Mewujudkan Pengangkutan Awam di Pulau Pinang.

Rakyat Pulau Pinang menerima penjelasan kerajaan negeri tentang usaha kuat dalam tempoh 5 tahun ini untuk mewujudkan system pengangkutan awam yang berkesan. Malangnya kerajaan persekutuan yang mempunyai kuasa mutlak ke atas pengangkutan awam telahpun menolak 3 inisiatif kerajaan negeri seperti:-

  • Menubuhkan syarikat pengangkutan awam bas untuk membolehkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang(MPPP) membeli bas;

  • Membayar RM 10 juta kepada Rapid Penang setiap tahun sebagai gantian memberikan perkhidmatan bas percuma di seluruh Pulau Pinang semasa waktu puncak; dan

  • Menyokong kerajaan pusat membina monorel yang dijanjikan oleh BN sejak 2006 tetapi sehingga kini janji masih belum ditepati.

Kerajaan pusat jelas gentar dengan projek ini sehingga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menentang projek infrastuktur ini berhabis-habisan kerana takut ia akan menampilkan kemampuan kerajaan negeri PR. Sama seperti kejayaan kerajaan pusat menggagalkan usaha pengangkutan awam di Pulau Pinang, kerajaan pusat akan cari jalan sabotaj yang sama.

Demi mengelakkan kerajaan pusat menghalang projek terowong bawah dasar laut, kerajaan negeri bersetuju tol dikenakan dengan kadar yang sama dengan Jambatan Kedua. Sekiranya tidak ada tol di terowong, kerajaan pusat boleh menyaman kerajaan negeri berniat jahat menggagalkan kutipan tol Jambatan Kedua Pulau Pinang, yang akan siap pada bulan September ini, kerana pengguna kenderaan tentu akan memilih terowong.

Kerajaan negeri telah mencipta sejarah dengan memberikan konsesi tol yang tidak ada jaminan volume kenderaan dan untuk tempoh masa 30 tahun. Ini berbeza dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang diberikan untuk tempoh masa 45 tahun dan ada jaminan volume kenderaan, yang bermakna kerajaan pusat akan berikan pampasan gantirugi sekiranya bilangan kereta yang gunakan Jambatan Kedua Pulau Pinang tidak mencukupi.

BN Tak Boleh, Melayu Boleh!

Oleh kerana tidak mahu anak-muda kita terus menjadi generasi “traffic jam” kerana keengganan kerajaan persekutuan bekerjasama, maka kerajaan negeri telahpun bersifat berani menjalankan 4 projek lebuhraya ini secara tender terbuka. Award tender diputuskan oleh dua jawatankuasa yang dipengerusikan masing-masing oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Farizan bin Darus dan Pegawai Kewangan Negeri Dato Mokhtar bin Mohd Jait. Ketua Menteri Pulau Pinang tidak menjadi ahli kedua-dua jawatankuasa ini.

Sebuah syarikat Melayu bumiputera telahpun memenangi tender terbesar dalam sejarah Pulau Pinang ini dengan harga terendah RM6.3 bilion. Sekaligus ini membuktikan amalan sistem tender terbuka oleh kerajaan negeri PR dapat memilih dan martabatkan kontraktor Melayu yang pandai buat kerja bukan sekadar pandai berpolitik.

Fitnah BN bahawa tender RM6.3 bilion diberikan kepada syarikat RM2 dibuktikan palsu bila 4 syarikat yang menandatangani surat penerimaan dengan kerajaan negeri memiliki modal berbayar sebanyak RM4.5 bilion. Pembayaran RM6.3 bilion bukanlah secara wang tunai tetapi dengan gantian tebus guna tanah sebanyak 110 ekar.

Ini berbanding dengan kerajaan negeri BN lama yang memberikan 325 ekar tanah untuk projek RM 325 juta untuk Lebuhraya Jelutong. Yang lagi serius, adalah projek membina jambatan di Sarawak sebanyak RM 947 juta di mana kerajaan negeri Sarawak membuat pembayaran wang tunai sebanyak RM 747 juta. Baki RM200 juta dibayar dengan tanah seluas bukan 110 ekar tetapi 100,000 ekar oleh kerajaan negeri Sarawak!

Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, masyarakat madani dan NGO memberikan pandangan membina dan objektif berdasarkan fakta dan bukan bersifat sentiment dan subjektif.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang