Ketua Menteri Pulau Pinang hendaklah memimpin rakyat dari depan dan bukannya dari belakang UMNO

Keputusan Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow untuk melarikan diri daripada kerusinya sendiri di Padang Kota sangat jelas selepas hari dia menolak untuk membuat susulan terhadap cabarannya sendiri untuk berdepan dengan saya di dalam pilihan raya umum akan datang. Dengan menetapkan syarat mengarut yang baru sebelum bertanding dengan saya, Teng jelas terpaksa menelan kembali kata-katanya "bangkit dari tempat anda jatuh" dan mengelak pertandingan terus di Padang Kota.

Janji untuk "bangkit dari tempat dia jatuh" tidak mempunyai makna sekiranya Teng menolak untuk menunjukkan keberanian dan "kepimpinan melalui teladan" dengan bertanding semula di kerusi lamanya Padang Kota tetapi memilih untuk mengikut telunjuk UMNO di mana boleh dan di mana tidak untuk bertanding. Semua orang tahu Teng sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang bukan pilihan utama Gerakan dan dia bukanlah Presiden Gerakan atau Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, tetapi pilihan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.

Saya gagal untuk memahami bagaimana sekiranya saya bertanding untuk kerusi Parlimen akan memberikan kesan kepada pertandingan antara kita berdua. Rakyat di Padang Kota juga tidak faham mengapa Teng tidak boleh kembali ke kerusi lamanya Padang Kota, yang sepatutnya memberikan kelebihan kepada Teng memandangkan saya bukannya memintanya untuk bertanding di kerusi saya di Air Putih. Pengerusi DAP Pulau Pinang dan ADUN Padang Kota, Chow Kon Yeow telah bersetuju untuk menukar Padang Kota dengan Air Putih bagi membolehkan pertandingan antara pemimpin tinggi PR dan BN Pulau Pinang diteruskan.

Pertandingan ini memberikan rakyat pilihan yang jelas - sama ada untuk kembali kepada kerajaan pilihan UMNO dan BN yang akan diperintah oleh kroni atau kerajaan rakyat, untuk rakyat dari rakyat. Ini juga berkenaan dua dasar pentadboran antara yang membiarkan korupsi dan dasar yang percaya bahawa kerajaan yang bersih berdasarkan Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan boleh menjadi lebih baik berbanding yang korup.

Teng menetapkan syarat mengarut seperti saya tidak boleh bertanding kerusi parlimen dan hanya boleh bertanding kerusi negeri, kelihatan seperti perangkap untuk menghalang saya daripada memainkan peranan nasional sebagai pemimpin nasional DAP untuk memimpin parti saya dan seluruh rakyat Malaysia di luar Pulau Pinang. Teng juga begitu cepat lupa atau cuba menyelewengkan fakta bahawa dia sebenarnya yang mencabar saya.

Saya tidak melihat bagaimana bertanding di kedua-dua kerusi parlimen dan negeri akan memberikan kesan kepada kedua-dua kita yang bertanding di Padang Kota. Bagaimanapun, untuk menunjukkan keikhlasan saya untuk melihat pertandingan ini terlaksana di Padang Kota dan tidak memberikan ruang Teng untuk lari daripada cabarannya sendiri kepada saya, saya akan membuat satu kompromi terakhir kepadanya.

Saya akan bertanding hanya kerusi negeri sekiranya Teng Chang Yeow tidak melarikan diri tetapi bertanding semula di Padang Kota, yang beliau pegang untuk 3 penggal dari 1995-2008. Sekiranya Teng bersetuju untuk bertanding di kerusi lamanya Padang Kota, saya akan menyampaikan kepada kepimpinan tertinggi DAP bahawa saya tidak akan bertanding untuk kerusi Parlimen, seperti mana yang diperlukan kerana saya merupakan Setiausaha Agung DAP.

Pilihan Raya umum kali ini amat penting kerana ia berkenaan membenarkan rakyat membuat pilihan jelas. Oleh itu biarlah persaingan ini adalah tentang parti mana yang dapat memberikan idea yang lebih baik dan dasar yang lebih hebat serta idealisme, prinsip dan nilai yang dapat menyediakan masa depan yang lebih baik untuk Pulau Pinang.

Saya sentiasa percaya bahawa pemimpin mesti memimpin dari depan dan bukannya dari belakang. Pilihan ini jelas sama ada rakyat Pulau Pinang mahukan Ketua Menteri yang memimpin rakyat dari depan atau yang memimpin mereka dari belakang UMNO.

Sekiranya Teng menolak untuk bertanding di Padang Kota maka saya tidak akan membuang masa melayannya memandangkan telah terbongkar bahawa dia hanyalah boneka UMNO yang lebih berminat bermain politik kebudak-budakan.

Pilihan raya umum seterusnya adalah tentang masa depan yang bagaimana Pulau Pinang mahukan buat generasi muda. PR percaya kepada Pulau Pinang yang bersih, lebih hijau, selamat dan sihat. Biar rakyat Pulau Pinang membuat keputusan sama ada PR mempunyai dasar dan prinsip serta memiliki keberanian dan idealisme untuk menyediakan masa depan baik buat anak-anak muda kita.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang