Pengiraan Detik 29 Hari ke PRU13 – Najib berlebihan mendakwa, bahawa Malaysia merupakan negara paling pesat dalam pertumbuhan GNI per kapita

Saya tidak mencemburui keadaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada waktu ini memandangkan beliau perlu terus menunjukkan keyakinan tinggi bahawa beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri terakhir UMNO/Barisan Nasional dan akan berjaya mengharungi rampasan kuasa ala-Abdullah Badawi di dalam UMNO selepas PRU13 sementara beliau diselubungi keraguan sama ada akan terselamat dalam pengiraan detik ujian hidup dan mati hayat politik beliau.

Akibatnya, beliau berlebihan menafikan dan membuat dakwaan.

Semalam, program TV3 “Conversation with the PM” memberikan satu lagi contoh bahawa Perdana Menteri keenam Malaysia “berlebihan mendakwa” apabila beliau berkata:

“Dan apabila anda berkata tentang faedah untuk rakyat, dalam tempoh tiga tahun, dari 2009 sehingga akhir 2011, GNI (pendapatan negara kasar) per kapita, berkembang daripada US$6,670 kepada US$9,970. Secara kasarnya sebanyak 49 peratus (peningkatan). Tiada negara di dalam dunia telah mencapai keputusan sedemikian”.

Dakwaan Najib bahawa negara ini ialah negara paling pesat di dunia dalam pertumbuhan GNI per kapita dalam tempoh tiga tahun dari 2009 hingga 2011 seperti dakwaannya untuk menjadikan Malaysia demokrasi terbaik dunia, apabila beliau sendiri tidak bersedia menyokong penelitian bagi pilihan raya umum yang bebas, bersih dan adil meskipun menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya baru-baru ini. Sebaliknya, Najib diselar di peringkat antarabangsa sebagai “democrat palsu”.

Najib membuat dua dakwaan palsu dalam satu penegasan malam semalam – GNI Malaysia per kapita tidak meningkat sebanyak 49 peratus dalam tiga tahun dari 2009 hingga 2011, dan Malaysia jelas sekali bukan negara paling pesat dalam pertumbuhan GNI bagi tempoh tiga tahun itu.

Laman web Bank Dunia menunjukkan angka sebenar untuk GNI Malaysia per kapita untuk tempoh itu, yakni:

2009----- US$7,550
2010----- US$8,090
2011------US$8,770

Pautan kepada data Bank Dunia itu ialah:

http://data.worldbank.org/indicator/NY.GNP.PCAP.CD/countries/MY-4E-XT?display=default

Angka GNI per kapita yang dipetik Najib tidak konsisten dengan pertumbuhan GDP yang dikeluarkan dan dipetik oleh Kerajaan, Kadar pertumbuhan keduanya (GNI dan GDP) mengikut antara satu sama lain dengan rapat. Dengan itu kadar pertumbuhan 49% yang beliau petik ialah sesuatu yang mustahil dan tidak mencerminkan pertumbuhan sebenar GDP.

Daripada data World Bank, GNI per kapita dari 2009 hingga 2011 meningkat sebanyak 16.15% dan bukannya 49% peningkatan seperti yang didakwa Najib dengan cakap besar yang tiada isi bahawa “tiada negara di dalam dunia telah mencapai keputusan seperti itu”.

Sebenarnya, daripada tinjauan ringkas kepada data Bank Dunia, terdapat beberapa negara, termasuk sekurang-kurangnya dari ASEAN, yang telah menampakkan pertumbuhan pesar GNI per kapita dari 2009 hingga 2011, termasuklah:

Negara GNI per kapita(US$) % peningkatan
2009 2011
China 3,620 4,940 36.46%
Indonesia 2,160 2,940 36.1%
Singapura 36,030 42,930 19.15%
Botswana 6,270 7,470 19.14%
Thailand 3,730 4,440 19%
Filipina 1,870 2,210 18.18%

Ketika Malaysia ketinggalan walaupun kepada Thailand, Filipina dan Indonesia dari segi pertumbuhan GNI per kapita dalam tiga tahun dari 2009 hingga 2011, bagaimana Najib boleh mendabik dada di hadapan penonton televisyen mendakwa negara ini ialah negara paling pesat pertumbuhan GNI per kapita dari 2009 hingga 2011?

Sebagai Menteri Kewangan selain Perdana Menteri (tidak lupa juga beliau merupakan Menteri Wanita) dan seorang ahli ekonomi terlatih, Najib sepatutnya lebih tahu melainkan tentu sekali beliau amat jahil mengenainya. Atau mungkin beliau fikir rakyat boleh ditipu untuk mempercayai angka yang dibuat-buat itu.

Bolehkah Najib menamakan negara yang telah mencapai peningkatan luar biasa 49% GNI per kapita dalam dua tempoh, yang akan mencipta rekod dunia.

Ironinya, satu-satunya bahagian yang benar dalam kenyataan Najib itu, ialah perenggan terakhir!

Najib bercakap di televisyen malam semalam sebelum memanggil untuk PRU13, beliau mahu menunjukkan kepada rakyat apa yang telah dicapai melalui pelbagai inisiatif di dalam agenda transformasi nasional.

Berapa lama lagi yang Najib perlu untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa pelbagai jenis singkatan dan permainan aksara beliau bukan sekadar omong kosong tetapi dasar transformasi yang bermakna kepada rakyat?

Sekiranya Najib tidak dapat menyakinkan rakyat Malaysia selepas empat tahun memegang jawatan (tinggal tiga minggu lagi untuk mencapai empat tahun sebagai Perdana Menteri paling lama tidak diundi), apa yang tempoh beberapa minggu (45 hari sebelum Parlimen dibubarkan dengan sendiri pada 27 April) dapat berikan untuk beliau mendapatkan kasih sayang pengundi Malaysia?

Mungkin satu tindakan yang dapat menyakinkan rakyat Malaysia terhadap kesungguhan politik beliau dan keseriusan untuk menwujudkan transformasi di Malaysia ialah dengan meminta mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, tidak menerajui kembalinya Mahathirism dan memberhentikan ramalan huru-haranya akan tetapi tentu sekali ini sesuatu yang mustahil.

Najib tidak mempunyai keyakinan bahawa pelbagai program transformasinya akan menjadi modal paling kuat dalam PRU13, sebab itu beliau semakin bergantung kepada kempen negatif dan memecah-belah yang memudaratkan kepentingan negara termasuklah dasar 1 Malaysianya.

Ujian seterusnya buat Najib adalah sama ada beliau akan membubarkan parlimen sebelum 16 Mac, tarikh Dewan Undangan Negeri Sembilan akan terbubar dengan sendirinya.

Apakah Najib akan bangkit atau sekali lagi gagal?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur