Prinsip “Check and Balance” perlu di antara SPRM dan Jabatan Peguam Negara

Kuasa pendakwaan harus terus diletakkan kepada Jabatan Peguam Negara sungguhpun terdapat kekurangan dalam penyampaian Jabatan Peguam Negara.

Permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya kuasa pendakwaan diberi kepada SPRM untuk menjalankan pendakwaan terhadap orang kena tuduh (OKT) yang melanggar undang-undang pencegahan rasuah tidak wajar kerana ini bercanggahan dengan prinsip “check and balance” atau prinsip penyemakan dan pemantauan terhadap agen penyiasatan.

SPRM ialah sebuah agen kerajaan yang bertanggungjawab untuk menjalankan kerja-kerja penyiasatan kes jenayah rasuah manakala Jabatan Peguam Negara ialah sebuah agen kerajaan yang menjalankan tugas pendakwaan. Kedua-dua fungsi ini perlu diasingkan supaya tidak berlaku pertindihan dan pemusatan kuasa di satu-satu agensi kerajaan.

Kedua-dua fungsi ini juga perlu diasingkan supaya kuasa pendakwaan iaitu Jabatan Peguam Negara boleh melihat keseluruhan kes yang dibawa oleh kuasa penyiasatan dengan lebih menyeluruh, objektif dan professional supaya kes pendakwaan yang dibawa ke mahkamah ialah kes yang “water tight”, iaitu kes yang mempunyai asas yang kukuh untuk menang di mahkamah (keupayaan Jabatan Peguam Negara untuk mencapai tahap ini merupakan satu lagi isu yang perlu dibincang secara berasingan).

Kedua-dua SPRM dan Jabatan Peguam Negara tidak beroperasi secara bersendirian kerana sama ada berjaya atau tidak seseorang OKT disabit bersalah atas tuduhan rasuah di mahkamah juga bergantung kepada bentuk undang-undang mencegah rasuah yang sedia ada di Malaysia.

Satu kekurangan yang amat ketara dalam undang-undang pencegahan rasuah di Malaysia ialah seseorang dan ahli-ahli keluarganya yang mempunyai pendapatan dan harta yang lauh lebih banyak dan tidak sepadan dengan pendapatannya tidak dianggap rasuah.

Situasi ini sememangnya berbeza dengan perundangan yang ada di negara-negara maju seperti di Hong Kong di mana sekiranya perkara ini berlaku, maka seseorang penjawat awam itu boleh terus didakwa di mahkamah mengikut prosidur yang telah ditetapkan melalui Jabatan Kehakiman Hong Kong atau Department of Justice of Hong Kong.

Selain daripada faktor undang-undang, terdapat juga faktor-faktor yang lain yang menentukan berjaya atau tidak perjuangan menentang rasuah, termasuk penyelarasan gaji penjawat awam dan nilai jatidiri yang perlu diterap dengan lebih konsisten ke dalam perkhidmatan awam di Malaysia.

Justeru itu, masalah hakiki bukanlah tentang pemberian kuasa pendakwaan kepada SPRM untuk membawa kes rasuah ke mahkamah, malahan ianya bercanggahan dengan prinsip penyemakan dan pemantauan.

Lau Weng San ADUN Kawasan Kg Tunku