KPN Khalid perlu dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 untuk memberi penjelasan tentang kehilangan senjata api dan aset polis

Lebih banyak persoalan timbul tentang Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara untuk mengkaji dan meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang telah diumumkan pembentukannya oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr. Ali Hamsa pada Sabtu lalu.

Menurut Ali, anggota-anggota lain bagi jawatankuasa berkenaan adalah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Peguam Negara dan wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Kewangan, dan Polis Diraja Malaysia.

Persoalan pertama yang timbul adalah sama ada kerajaan Najib benar-benar serius hendak memastikan tahap integriti dan kebertanggungjawaban perkhidmatan awam dan sama ada Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 itu bukan semata-mata satu langkah “perhubungan awam” untuk mengalihkan perhatian orang ramai sekian banyak laporan buruk berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Apakah mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 telah diadakan dan apakah Najib, sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, akan membentangkan Kertas Putih ketika Dewan Rakyat bersidang semula 21 Oktober nanti dan membentangkan langkah awal dan keputusan Jawatankuasa Khas?

Kedua, mengapa Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 di peringkat tinggi itu tidak dibentuk ketika Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan menerima Laporan Ketua Audit Negara 2012 pada bulan Julai lalu untuk membuktikan keseriusan kerajaan Najib tentang Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), khususnya memandangkan integriti dan kebertanggungjawaban kerajaan adalah faktor utama bagi GTP yang telah pun memasuki tahun keempat?

Ketiga, apakah status sebenar Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012? Apakah ia akan wujud sebagai sesuatu yang tetap sekurang-kurangnya sepanjang kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri untuk menyelia laporan Ketua Audit Negara berkenaan akaun Kerajaan Persekutuan di masa depan? Apakah ia akan mengemukakan laporan secara berkala kepada Parlimen?

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed telah mempersoalkan penubuhan Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012, pertama, kerana peranannya bertindan dengan peranan PAC dan, kedua, kerana rakyat Malaysia tidak akan merasa yakin dengan Jawatankuasa Khas Ketua Setiausaha Negara itu kerana ia diangotai oleh pegawai-pegawai kerajaan.

Hujah-hujah Nur Jazlan itu benar kerana banyak rakyat Malaysia tertanya-tanya mengapa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menjadi anggota Jawatankuasa Khas itu sedangkan beliau sepatutnya dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 untuk memberikan penjelasan penuh dan memuaskan berkenaan kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta, termasuk 44 pucuk senjata api, di antara tahun 2010 dan 2012!

Perkara ini menjadi lebih penting apabila Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang menafikan dalam The Malaysian Insider hari ini bahawa polis telah memberi penjelasan kepada Jabatan Audit tentang kehilangan 44 pucuk senjata api tersebut dan aset-aset polis yang lain.

Ambrin menyangkal beberapa laporan yang menyebut bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi mengatakan bahawa satu laporan telah dikemukakan kepada Ketua Audit Negara berkenaan barangan polis yang hilang tetapi penjelasan dalam laporan tersebut tidak dimasukkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Atas sebab ini, Ketua Polis Negara perlu dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Khas untuk memberi penjelasan penuh dan memuaskan tentang kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta, termasuk 44 pucuk senjata api, 29 buah kenderaan 156 pasang gari, 26 buah walkie-talkie, 22 buah radio, dan beberapa peralatan lain, terutama selepas beliau memberikan respons tidak munasabah dengan mengatakan bahawa kemungkinan senjata api berkenaan telah “terjatuh ke dalam laut”!

Sesuatu yang menggusarkan kerana tiada tanda-tanda PAC ingin memanggil KPN untuk memberi penjelasan tentang kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta, terutamanya 44 pucuk senjata api, 156 pasang gari dan 29 buah kenderaan.

Malaysiakini melaporkan pada hari Laporan Ketua Audit Negara 2012 dibentangkan di Parlimen pada 1 Oktober lalu bahawa PAC telah mengadakan mesyuarat pertamanya dan ia telah mengenalpasti empat kementerian untuk disiasat setelah melakukan kajian awal ke atas Laporan Ketua Audit Negara 2012 – melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Lapangan Terbang Kota Kinabalu, pembinaan jentera pembakar sampah dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Agak menghairankan mengapa PAC tidak menyenaraikan kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta sebagai salah satu perkara yang akan segera disiasatnya, sedangkan orang awam mengharapkan perkara ini yang diberikan keutamaan dalam senarai siasatan oleh PAC.

Ini adalah salah satu sebab utama mengapa orang awam tidak begitu yakin dengan keupayaan PAC untuk menyekat korupsi, pembaziran, kecuaian, dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku seperti yang didedahkan dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara, menyebabkan Ahli-ahli Parlimen dan orang awam menganggap PAC dalam bentuknya yang sekarang sebagai tidak berkesan dan tidak bertaring.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah