Apakah dasar 1Malaysia Najib telah merosot dalam tempoh empat tahun ini menjadi dasar 2Malaysia dengan pentafsiran yang berbeza ke atas peruntukan perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama bagi dua wilayah yang berlainan di Malaysia?

Apakah dasar 1Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah merosot dalam tempoh empat tahun ini menjadi dasar 2Malaysia dengan pentafsiran yang berbeza ke atas peruntukan perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama bagi dua wilayah yang berlainan di Malaysia?

Persoalan ini menuntut jawapan setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup memberitahu Sin Chew Daily bahawa setelah keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan penggunaan kalimah “Allah”, Kabinet telah memutuskan bahawa perkataan tersebut boleh digunakan oleh penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak dalam upacara ibadat mereka, termasuk dalam bible berbahasa Melayu, iaitu Al-Kitab.

Banyak persoalan muncul, antaranya sama ada Kabinet boleh menggunakan kuasa eksekutif untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan – sesuatu yang tidak boleh diiyakan oleh mana-mana peguam dalam negara, termasuk para peguam dalam Kabinet, kerajaan dan Parlimen.

Jadi bagaimanakah kedudukan keputusan Kabinet tersebut yang cuba mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dalam isu penggunaan kalimah “Allah” dari segi perundangan?

Tiada keputusan lain dalam sejarah negara ini yang lebih banyak dibidas oleh pihak dari dalam dan luar negara berbanding keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan kalimah “Allah” dan keputusan Kabinet kali ini. Keresahan yang timbul daripada keadaan ini perlu ditanggapi secara rasional dan waras oleh pihak yang memegang kuasa, antaranya keresahan yang timbul dalam bentuk berikut:

  • Jika perkataan Allah boleh digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, ia menunjukkan bahawa tiada rasional perundangan untuk mengharamkan penganut Kristian daripada menggunakan perkataan tersebut! Ia juga menunjukkan bahawa isu ini sebenarnya bermotifkan politik dan tidak berkait dengan akidah Muslim. Apakah masuk akal bahawa seorang Kristian berbahasa Melayu boleh menyebut Tuhan dengan panggilan “Allah” ketika dia berada di Sabah dan Sarawak, tetapi sebaik saja menjejakkan kakinya ke Semenanjung Malaysia, dia mesti berhenti berbuat begitu? Jika ada sebab yang hakiki untuk menegah penganut Kristian daripada menggunakan perkataan itu, maka tegahan mesti dibuat di seluruh negara. Penerapan “undang-undang” berkenaan secara tidak konsisten menunjukkan bahawa pengharaman itu adalah sesuatu yang tidak munasabah.

  • Apa jenis undang-undang yang kita pakai di negara ini atau negara jenis apakah Malaysia ini? Undang-undang persekutuan boleh diterapkan secara berbeza-beza terhadap wilayah dan kelompok yang berlainan? Kabinet berkuasa untuk menentukan Undang-undang Persekutuan mana yang boleh diketepikan dan dicabul? Apakah Kabinet berhak memaafkan seseorang yang ditangkap kerana melakukan korupsi di Malaysia Timur? Kalau begitu, lebih baik jika PDRM, SPRM, Badan Kehakiman dan sebagainya dibubarkan. Ini akan menjimatkan banyak wang negara. Kabinet boleh menjadi hakim, pendakwaraya, polis, dan sebagainya. Malaysia, jenaka nombor 1 di dunia...

  • Pelabur asing telah hilang keyakinan terhadap mahkamah kita. Lebih banyak pelabur asing yang akan meletakkan syarat yang membolehkan mereka mencari keadilan di mahkamah lain selain mahkamah Malaysia. 1 negara, 2 undang-undang. Kalau saya seorang pelabur asing, saya akan meletakkan syarat tambahan sebelum melabut di Malaysia. Jika kerajaan BN tidak bersetuju, saya akan pergi ke negara lain. Ada banyak destinasi pelaburan yang boleh dipilih kini. Malaysia bukan lagi satu-satunya destinasi pelaburan.

Soalan yang juga penting, apakah Najib sedar bahawa “Global Movement of Moderates” yang dicanang dan diwar-warkan beliau dalam forum antarabangsa (namun bukan dalam negara) sejak empat tahun lalu telah menjadi korban terbesar berikutan keputusan Mahkamah Rayuan dan keputusan Kabinet tentang penggunaan kalimah “Allah”?

Persoalan paling penting, setelah sejak sekian lama membisu, bilakah Najib akan membuka mulut untuk menjawab persoalan sekitar 1Malaysia, jaminan Perlembagaan terhadap kebebasan beragama, dan kebebasan kehakiman yang telah menjadi tumpuan di dalam dan luar negara berikutan keputusan tentang kontroversi kalimah “Allah”.

Atau, apakah sebenarnya rakyat Malaysia sedang melihat buah pertama daripada slogan baru Najib, “Endless Possibilites”?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah