RazakSat-2, satu lagi projek mega beratus juta ringgit yang bakal gagal?

Pada 26 September 2013, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr. Abu Bakar b. Mohamad Diah telah menjawab soalan Parlimen saya tentang program satelit kerajaan pusat RazakSat-2.

RazakSat-2 merupakan kesinambungan projek satelit pengimejan RazakSat-1 yang telah dilancarkan ke angkasa dari Pulau Kwajalein pada 21 April 2010. Program RazakSat-1 telah memakan belanja sebanyak RM142 juta. Namun hanya SETAHUN selepas dilancarkan satelit RazakSat-1 didapati gagal berfungsi. Sebanyak 1,328 imej beresolusi tinggi daripada satelit tersebut tidak boleh dipakai kerana terdapat ralat sehingga 37 km. Dalam kata lain, nak ambil imej Sungai Buloh, terambil pula imej Kuala Selangor yang sejauh 37 km dari sasaran. Pada tahun 2011, Ketua Audit Negara turut memberikan teguran keras terhadap projek ini.

Ketua Audit Negara turut melaporkan bahawa syarikat kepunyaan kerajaan Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB) yang mengoperasikan RazakSat-1 telahpun mengalami kerugian RM10.89 juta pada tahun 2009 sebelum satelit tersebut dilancarkan lagi.

Dalam jawapan beliau kepada saya tentang status program RazakSat-2 yang telah diumumkan DUA (2) tahun yang lepas, Timbalan Menteri menyatakan bahawa program tersebut “masih lagi di peringkat pemilihan rakan teknologi untuk bekerjasama dengan...ATSB”.

Di sini, saya nak membangkitkan DUA (2) isu kiritikal dalam jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri tersebut:

  1. Kos projek meningkat 35% dari RM200 juta ke RM271.9 juta

    Saya terkejut mendapati kos RazakSat-2 telah meningkat ke RM271.9 juta pada ketika ini. Apabila projek tersebut diumumkan pada 2011, ianya bernilai RM200 juta dan angka itu sudahpun merupakan lebih 40% peningkatan daripada kos RazakSat-1.

    Kini kos RazakSat-2 meningkat lagi 35%. Persoalannya ialah, mengapa kos projek naik RM71.9 juta walaupun tiada lagi sebarang kerja yang besar dilaksanakan sejak diumumkan pada 2011?

  2. Projek ini kini ditunda ke 2016

    Apabila RazakSat-2 diumumkan pada September 2011 oleh bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr. Maximus Ongkili, beliau telah menyatakan bahawa satelit tersebut dijangka akan beroperasi menjelang 2015.

    Kini, DUA (2) tahun sudah berlalu dan hanya sekarang kerajaan memaklumkan bahawa projek ini masih dalam peringkat mencari rakan teknologi. Timbalan Menteri pula berkata bahawa kini projek tersebut hanya akan beroperasi pada tahun 2016. Namun, melihat kepada status projek pada masa kini, amat diragui sama ada RazakSat-2 akan beroperasi walaupun menjelang tahun 2016.

Yang hairannya, pada awal tahun ini, Singapura telah mengumumkan satelit penderiaan jarak jauh (remote sensing satellite) komersil yang pertama negara tersebut TeLEOS-1 dan satelit tersebut dijangka akan dilancarkan menjelang 2015.

Kesimpulan

Saya akan membangkitkan isu-isu lain yang berkaitan RazakSat-2 pada kenyataan yang akan datang. Namun di sini, kerajaan perlu menjawab dua isu di atas iaitu mengapa kos projek mega ini meningkat walaupun masih belum ada sebarang kerja besar dilaksanakan selepas DUA (2) tahun RazakSat-2 diumumkan. Kelewatan projek ini seakan-akan seperti projek RazakSat-1 yang terdahulu yang akhirnya gagal dan membawa kerugian sebanyak RM142 wang rakyat. Nampaknya sehingga sekarang, kerajaan gagal untuk menunjukkan sebarang komitmen yang serius ke atas projek ini selain membelanjakan lebih banyak wang lagi.

Saya berharap kerajaan akan memberikan satu laporan yang jujur dan terperinci tentang situasi projek RazakSat-2, termasuk mengapa kosnya meningkat begitu mendadak dan mengeluarkan laporan post mortem kegagalan RazakSat-1 serta apakah langkah-langkah bagi mengelakkan perkara yang sama daripada berlaku pada RazakSat-2.

Steven Sim Chee Keong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, DAPSY & Ahli Parlimen Bukit Mertajam