Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera – penolakan Najib terhadap Model Ekonomi Baru dan dasar 1Malaysia

Sejak diisytiharkan sebagai cuti umum empat tahun lalu, sambutan Hari Malaysia ke-50 kali ini adalah sambutan yang paling menggusarkan kita kerana dua hari sebelum itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah membuat tindakan yang menunjukkan beliau bukan lagi seorang Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan sebagai peneraju transformasi negara dari segi tadbir urus kerajaan, politik mahu pun ekonomi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut hari di mana Najib membuat pengumuman tentang Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera bernilai RM31 bilion sebagai “hari yang sungguh bertuah” dan pengumuman itu sendiri sebagai “acara paling dinanti-nantikan.” Tidak hairanlah Muhyiddin begitu gembira, kerana pengumuman itu menandakan kemenangan pendirian “Malay first, Malaysian second” beliau dan berakhirnya dasar 1Malaysia Najib yang belum pun mencecah usia empat tahun.

Pada bulan Mac 2010 saya telah mencabar Muhyiddin dan semua Menteri Kabinet ketika itu untuk menyatakan sama ada mereka menyokong sepenuhnya dasar 1Malaysia Najib, mengignatkan mereka bahawa matlamat 1Malaysia seperti yang disebut dalam Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia ialah “untuk menjadikan Malaysia ... sebuah negara lebih hebat: sebuah negara yang setiap rakyatnya melihat diri mereka pertamanya sebagai warga Malaysia dan seterusnya menurut kaum, agama, daerah atau latar belakang sosioekonomi dan di mana prinsip 1Malaysia terjalin pada struktur ekonomi, politik dan sosial masyarakat.”

Saya secara khusus meminta Muhyiddin dan semua Menteri Kabinet untuk menyatakan sama ada mereka sanggup mengisytiharkan diri mereka sebagai “warga Malaysia terlebih dahulu” dan kemudiannya menurut kaum.

Semua Menteri Kabinet ketika itu membisu seribu bahasa setelah Muhyiddin mengisytiharkan bahawa beliau menganggap dirinya “pertama sekali sebagai Melayu” dan setelah itu barulah sebagai warga Malaysia.

Kita merasa hiba kerana sejak empat tahun lalu, hanya seorang Menteri Umno, iaitu Datuk Seri Nazri Aziz, yang berani mengakui secara terbuka bahawa beliau menganggap dirinya pertama sekali sebagai warga Malaysia dan seterusnya sebagai orang Melayu.

Najib sendiri tidak pernah mengakui bahawa beliau menganggap dirinya “pertama sekali sebagai warga Malaysia dan seterusnya sebagai Melayu”, walaupun beliau menonjolkan 1Malaysia sebagai dasar utama kerajaan beliau sejak empat tahun lalu.

Malah, pada Julai 2011, Najib mengelak apabila beliau ditanya dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia sama ada beliau sanggup menyatakan apakah beliau menganggap dirinya pertama sekali sebagai warga Malaysia dan apakah tanggapannya terhadap kenyataan Muhyiddin yang menganggap dirinya “pertama sekali sebagai Melayu dan seterusnya sebagai warga Malaysia.”

Najib tidak menjawab pertanyaan tersebut, sebaliknya berkata: “Saya tidak mahu memberi jawapan yang dapat menimbulkan perbezaan antara saya dengan timbalan saya. 1Malaysia adalah falsafah yang memandu kita. Tidak penting apa yang anda ucapkan, selagi anda patuh (pada konsep 1 Malaysia).”

Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera menjadi penolakan oleh Najib terhadap dua dasar paling penting yang diperkenalkannya setelah menjadi Perdana Menteri pada April 2009 – Model Ekonomi Baru (MEB) yang menjanjikan transformasi program afirmatif berasaskan keperluan dan merit untuk meningkatkan mutu kehidupan golongan yang pendapatan mereka berada pada tahap 40% terendah, tanpa mengira latar kaum, dan dasar 1Malaysia yang berasaskan konsep kesaksamaan untuk semua, tanpa meminggirkan sebarang kelompok, dengan sokongan dan peluang diberikan berasaskan keperluan dan merit.

Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera adalah petanda kegagalan dasar 1Malaysia yang diperkenalkan Najib dengan asas untuk membentuk rakyat Malaysia yang melihat diri mereka pertamanya sebagai warga Malaysia dan seterusnya menurut kaum, agama, daerah atau latar belakang sosioekonomi, dengan prinsip 1Malaysia terjalin pada struktur ekonomi, politik dan sosial masyarakat.

Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera mesti ditolak atas dua asas: peminggiran kaum bukan-Melayu di Malaysia dan penerusan hegemoni Umno-putra sebagai penerima manfaat utama daripada Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang bernilai 31 bilion itu sepertimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah menghasilkan kekayaan untuk segelintir manusia dalam Umno atas nama mengangkat dan memajukan bumiputera, sedangkan sebahagian besar kaum bumiputera masih kekal dalam golongan 40% rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah