Shafie Apdal, mari berdebat “Siapakah tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan negara kita”

Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Mohd Shafie Apdal telah menghina saya "buta sejarah" atas kenyataan saya baru-baru ini yang mempertahankan Sasterawan Negara A. Samad Said dan aktivis-aktivis lain yang ditahan kerajaan Barisan Nasional hanya kerana mereka memperingati sejarah negara. (https://dapmalaysia.org/english/2013/sep13/bul/bul5642.php)

Menteri tak faham atau tak baca sebelum beri komen?

Pertama sekali, saya berasa kecewa kerana sebagai seorang Menteri dan pemimpin kanan parti, Mohd Shafie Apdal jelas gagal memahami kenyataan saya ataupun beliau langsung tidak membacanya sebelum memberi komen yang menghina tersebut.

Saya tidak menyangkalkan sumbangan tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman dalam perjuangan kemerdekaan, tetapi saya jelas menyatakan bahawa Barisan Nasional telah menjadikan sejarah sebagai alat propaganda dan melakukan revisinisme sejarah (historical revisionisme) dengan memberikan gambaran sejarah yang tidak tepat dan hanya berpihak kepada BN semata-mata. Contohnya tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan gabungan parti-parti progresif PUTERA-AMCJA tidak mendapat layanan yang setara dengan perjuangan mereka yang begitu digerun oleh penjajah sehingga tokoh-tokoh dalam organisasi ini menghadapi penindasan kerajaan penjajah.

Ayuh, debat

Keduanya, memandangkan Mohd Shafie Apdal melabelkan saya "buta sejarah" atas kenyataan saya tersebut, saya di sini dengan segala hormatnya menjemput beliau untuk berdebat dengan saya tentang sejarah, bertajuk, "Siapakah tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan negara kita?" Memandangkan beliau telah membuat kenyataan menghina tersebut di Balik Pulau, maka saya mencadangkan debat tersebut dibuat di kawasan Balik Pulau. (http://www.sinarharian.com.my/mobile/arkib/shafie-ahli-parlimen-bukit-mertajam-buta-sejarah-1.199964)

Saya ingin menggunakan peluang ini untuk menunjukkan bagaimana UMNO-BN telah melakukan revisinisme sejarah termasuk dalam sukatan matapelajaran sekolah, sekaligus memperbodohkan rakyat dengan memberikan gambaran yang tidak tepat tentang sejarah negara.

Kalau Mohd Shafie Apdal begitu yakin bahawa UMNO tidak pernah melakukan revisinisme sejarah, maka tiada alasan untuk beliau menolak pelawaan debat saya. Jika beliau tidak berani berdebat, maka saya berharap beliau akan memohon maaf atas kenyataan menghina mengatakan saya "buta sejarah". Saya menunggu Pak Menteri memberikan maklumbalas terhadap jemputan saya tersebut.

Steven Sim Chee Keong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, DAPSY & Ahli Parlimen Bukit Mertajam