Saya merujuk kepada tuduhan Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh yang mengecam kedai KK Mart di Universiti Malaya menjual sandwic ham di mana beliau mendakwa ham mengandungi daging khinzir. Kenyataan Dr Akmal Saleh bukan sahaja menunjukkan pemikiran yang sempit, malah mendedahkan kurangnya pengetahuan asas beliau.
Pertama sekali, Dr Akmal Saleh sengaja mengelirukan orang awam dengan mengaitkan perkataan ‘ham’ dengan daging khinzir, tanpa mengambil kira kegunaan produk ham yang meluas dalam industri makanan. Hakikatnya, banyak jenis ham seperti ham ayam dan ham daging mahu pun ham turkey yang diiktiraf halal telah lama berada di pasaran dan diterima baik oleh pengguna. Contohnya, restoran seperti Subway dan restoren lain turut menggunakan ham ayam atau daging alternatif lain yang halal untuk memenuhi keperluan pengguna daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya. Tindakan Dr Akmal yang sengaja mengabaikan fakta ini jelas bertujuan mencetuskan kontroversi yang tidak perlu.
Selain itu, sandwic yang dipertikaikan tersebut telah mendapat kelulusan halal daripada JAKIM. Oleh itu, tiada sesiapa patut membuat tuduhan yang tidak berasas terhadap standard industri berdasarkan kejahilan atau prasangka peribadi, apatah lagi cuba menghasut sentimen awam demi kepentingan politik peribadi atau organisasi.
Tuduhan Dr Akmal Saleh tidak berasaskan sebarang bukti kukuh sebaliknya hanyalah untuk mencetuskan kontroversi bagi meraih publisiti politik murahan. Tindakan ini bukan sahaja mencemarkan reputasi peniaga terlibat, malah menjejaskan keyakinan pengguna dan operasi pasaran.
Tuduhan Dr Akmal Saleh mencerminkan sikap beliau yang sempit dan kurang inklusif dan pemikiran seperti ini bukan sahaja bertentangan dengan nilai masyarakat majmuk di Malaysia, malah cuba menanam pemikiran prasangka di kalangan pengguna dan peniaga dalam masyarakat yang majmuk negara kita.
Saya juga mengecam tindakan Universiti Malaya yang mengarahkan kedai serbaneka tersebut ditutup di mana tindakan ini seolah-olah tunduk kepada golongan ekstremis dan secara tidak langsung mengiktiraf tindakan yang tidak munasabah ini. Sebagai institusi pengajian tinggi, Universiti Malaya seharusnya mendidik mahasiswa tentang kepentingan toleransi dan saling memahami bagi membentuk sebuah masyarakat yang maju, bukannya menggalakkan sentimen perpecahan dan pertelingkahan.