10 inti pati menarik Kajian Separuh Penggal RMK 12

whatsapp image 2023 09 14 at 3.50.14 pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 di Dewan Rakyat pada Isnin lalu. Sebanyak 17 anjakan besar telah dibentangkan sebagai langkah untuk memangkin pembangunan sosioekonomi melalui tiga fokus utama iaitu memperkukuh kemampanan, pembangunan sejahtera dan mencapai status berpendapatan tinggi.

Menurut Perdana Menteri, KSP RMK12 yang digarapkan Kerajaan Perpaduan bukanlah pendekatan biasa dalam menilai rancangan pembangunan negara, sebaliknya meliputi dasar dan kaedah baharu untuk menghadapi cabaran semasa.

Jelasnya, ia dijajarkan semula dengan aspirasi dan visi Ekonomi MADANI yang dibentangkan pada 27 Julai bagi merancakkan ekonomi negara serta disokong dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Antara 10 inti pati menarik yang dibentangkan dalam KSP RMK12 ialah:

1- Kerajaan Perpaduan komited untuk menoktahkan kemiskinan tegar
Demi menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya, Kerajaan berikrar untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga, tanpa mengira etnik mahupun keberadaan mereka di bandar, desa, atau pedalaman. Sejumlah RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar.

2- Reformasi Struktur Ekonomi
Kerajaan tekad untuk melaksanakan dan mempercepatkan Reformasi Struktur Ekonomi kepada bidang seperti Industri Peralihan Tenaga, Industri Digital, E&E bernilai tinggi seperti Infineon, Keterjaminan Makanan, Industri Nadir Bumi dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

3- Menerajui Ekonomi Islam
Sektor perbankan, takaful dan pasaran modal Islam akan terus diperkasa untuk mendepani cabaran baru bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam global. Malaysia akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF2023) ke-15 di Kuala Lumpur pada Disember ini bagi mencerakinkan permasalahan dalam usaha Malaysia mempelopori peningkatan amalan sistem kewangan Islam yang syumul.

4- Kenaikan siling RMK12 daripada RM400 bilion kepada RM415 bilion
Kerajaan Perpaduan komited merancakkan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat. Perbelanjaan Pembangunan pada awal RMK12 rendah dengan perbelanjaan hanya RM64.3 bilion tahun 2021 dan RM71.6 bilion tahun 2022. Kerajaan Perpaduan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tahun 2023, 2024 dan 2025.

5- Fokus kepada perbelanjaan infrastruktur rakyat
Keutamaan perbelanjaan Kerajaan Perpaduan adalah kepada infrastruktur asas untuk rakyat, termasuk kesihatan, pendidikan, rangkaian jalan, pengangkutan, tenaga, bekalan air, keterjaminan makanan, tebatan banjir dan keselamatan sempadan.

6- Anjakan baharu KSP RMK12 disokong oleh pembaharuan institusi dan tatakelola
Pembaharuan tatakelola menumpukan kepada Perundangan Berkaitan Rasuah, Perolehan Kerajaan berlandaskan saingan atau tender terbuka manakala Pembaharuan Kemampanan Fiskal menumpukan kepada sasaran defisit fiskal 3.5 peratus KDNK atau lebih baik pada tahun 2025.

7- Memperkenalkan Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia
Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia akan diluncurkan dengan tumpuan untuk meningkatkan kebolehpasaran belia bagi mereka yang menganggur dan terbabit dalam sektor pekerjaan tidak formal. Pelan tersebut adalah satu tekad kerajaan untuk menyerlahkan potensi dan meningkatkan kesejahteraan hidup belia.

8- RM60 juta dana pembiayaan peluang kedua kepada PKS
Kerajaan memahami masih ramai perusahaan PKS yang masih belum bangkit daripada pandemic Covid-19. Oleh itu, Kerajaan Perpaduan menyediakan RM60 juta dana pembiayaan peluang kedua kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan inovatif dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan untuk bangkit semula daripada kegagalan dan terus menyumbang kepada ekonomi negara.

9- Pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak akan terus diberikan tumpuan
Kerajaan telah membuktikan komitmennya untuk menangani isu berbangkit daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selain melaksanakan projek pembangunan sistem Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan naik taraf sistem bekalan elektrik di Gugusan Felda Sahabat Sabah dengan kos RM195 juta. Selain itu, Lebih banyak projek pembinaan semula bangunan sekolah daif akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak untuk tingkat kualiti sistem pendidikan

10- Pelaksanaan Projek rintis Perumahan Inklusif MADANI
Ia akan dibangunkan untuk golongan sasar di bandar utama seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Ini adalah antara inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk memudahkan rakyat mempunyai tempat tinggal yang selamat dan selesa.

Sebenarnya, banyak lagi inisiatif dan perancangan yang dibentangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah tentu bakal memberi manfaat dan menguntungkan semua rakyat melibatkan seluruh lapisan masyarakat Malaysia.

“Mudah-mudahan semangat membangunkan negara, memacu pertumbuhan ekonomi akan dapat kita laku bersama untuk faedah negara dan rakyat,” katanya dalam pembentangan tersebut.

Recommended Posts