
Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan banyak manfaat yang bakal dinikmati oleh rakyat Malaysia serta sektor-sektor ekonomi yang terlibat.
Belanjawan 2024 telah dirangka mengikut keutamaan dan penanda aras Ekonomi MADANI yang dirumuskan kepada tiga teras iaitu:
1. Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan
2. Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan
3. Peningkatan Darjat Hidup Rakyat
Mari kita lihat sepuluh lagi tumpuan menarik dalam Belanjawan 2024 yang diumum baru-baru ini.
Pertama, Kementerian Komunikasi dan Digital bakal menerima peruntukan sebanyak RM2.8 bilion untuk meneruskan usaha Kerajaan Perpaduan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia. Peruntukan ini akan digunakan untuk meningkatkan inisiatif ketersambungan digital, ekonomi digital, keselamatan siber, pemasaran maklumat kenegaraan, dan menyokong perkembangan bakat dan projek kreatif tempatan.

Kedua, kerajaan telah menetapkan tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Malaysia. Oleh itu, Belanjawan memperuntukkan sebanyak RM350 juta bagi mempromosikan aktiviti pelancongan bagi menjadikan Malaysia destinasi pelancongan pilihan global.

Ketiga, industri sukan tempatan mendapat peruntukan sejumlah RM184 juta yang merangkumi persiapan atlet negara untuk menghadapi musim sukan pada tahun hadapan termasuk Program ‘Road to Gold’ dan Sukan Paralimpik Paris 2024, serta menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan di seluruh Malaysia. Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju menawarkan potongan cukai terhadap individu atau syarikat yang menyumbang kepada badan pendidikan berdaftar. Potongan cukai ini juga akan dinikmati oleh pembeli peralatan sukan tidak lebih daripada RM1,000. Selain itu, duti hiburan yang melibatkan acara sukan dan tempat bersukan dan beriadah juga bakal dikurangkan.

Keempat, kerajaan juga terus komited memperkasakan pengusaha mikro, kecil, dan sederhana (PKMS) melalui pemberian peruntukan bernilai RM44 bilion untuk menyokong peningkatan kapasiti perniagaan serta daya saing untuk meningkatkan pertumbuhan pendapatan rakyat dan Malaysia. Selain itu, pengusaha mikro dan peniaga kecil juga akan menikmati kemudahan pinjaman kecil melalui agensi seperti Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional, dan TEKUN. Di bawah TEKUN juga akan disediakan kemudahan pembiayaan dana khas untuk pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli, serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Kelima, perkhidmatan pengangkutan awam khususnya LRT dan MRT melalui Prasarana turut mendapat sokongan daripada kerajaan setelah Perdana Menteri mengumumkan penerusan inisiatif pas bulanan My50 yang akan memanfaatkan sehingga 180,000 pengguna pengangkutan awam. Projek LRT3 (LRT Laluan Shah Alam) juga akan menerima sebanyak RM4.7 bilion untuk menaik taraf kesalinghubungan LRT3 dengan menyambung semula pembinaan stesen-stesen yang ditangguh pembinaan sebelum ini. RM600 juta juga akan digunakan untuk memperoleh 150 unit bas elektrik dan membina depoh bas.

Keenam, sebanyak RM1.1 bilion akan disediakan untuk membantu menyelesaikan masalah air di Kelantan dan Sabah. Dalam ucapan Belanjawan, Perdana Menteri menzahirkan komitmen kerajaan terhadap menyelesaikan isu air yang masih membelenggu warga Kelantan, Sabah, dan Labuan. Peruntukan tersebut akan digunakan untuk memulih dan mengganti infrastruktur serta peralatan untuk meningkatkan kapasiti loji rawatan air di Kelantan dan Sabah, manakala di Labuan peruntukan tersebut akan digunakan untuk penggantian paip-paip usang serta membaik pulih infrastruktur sedia ada.

Ketujuh, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion untuk FELDA, FELCRA, dan RISDA bagi menambah baik aktiviti agrokomoditi di samping meningkatkan sosioekonomi pekebun dan peladang kecil. Demi membendung masalah keluasan sawit tua, kerajaan turut menawarkan Insentif Program Tanam Semula Sawit melalui peruntukan tersebut dalam bentuk geran dan pinjaman kepada 7,000 pekebun sawit kecil persendirian.

Kelapan, sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap taraf hidup rakyat Malaysia, inisiatif Payung Rahmah bakal diteruskan dengan peruntukan RM200 juta yang merangkumi Program Jualan Rahmah yang menawarkan barang keperluan asas pada harga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dan Program Pasar Rahmah yang memberikan insentif kepada pengusaha pasar borong, pasar malam,dan pasar tani untuk membantu pengusaha mengurangkan kos perniagaan persendirian.

Kesembilan, kerajaan juga bakal memberi peruntukan RM100 juta untuk menyokong bantuan dan usaha yang ditunjukkan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO). Ini selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI yang menumpukan perhatian kepada Kerjasama Awam-Swasta-Dermawan dalam menaik taraf kebajikan dan kehidupan rakyat.

Kesepuluh, dalam meneruskan usaha kerajaan menyediakan lebih banyak peluang untuk golongan B40 membeli rumah mampu milik, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.47 bilion untuk melaksanakan projek perumahan rakyat. Peruntukan ini merangkumi 36 Program Perumahan Rakyat, 14 Program Rumah Mesra Rakyat, penyediaan bantuan kepada rakyat desa untuk membaik pulih dan membaiki rumah, serta menyelenggara perumahan berstrata kos rendah dan sederhana awam dan swasta di seluruh Malaysia.
