10 Tumpuan Menarik Belanjawan 2024

10belanjawan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan telah membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu. 

Dengan peruntukan berjumlah RM393.8 bilion, Belanjawan 2024 merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah negara. 

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir untuk membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen, Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2023. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

Ini merangkumi RM303.8 bilion sebagai belanja mengurus, RM90 bilion bagi belanja pembangunan, manakala RM2 bilion untuk simpanan luar jangka. 

Berikut merupakan 10 tumpuan menarik daripada pembentangan Belanjawan 2024.

Pertama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal menerima peruntukan sebanyak RM41.2 bilion, meningkat berbanding RM36.3 bilion pada tahun ini. Peningkatan tersebut adalah bagi menangani beberapa cabaran utama sistem kesihatan di samping mengintegrasi sektor kesihatan awam dan swasta.

kkm

Kedua, Kementerian Pendidikan Malaysia sekali lagi menerima peruntukan terbesar daripada peruntukan keseluruhan Belanjawan 2024 sebanyak RM58.7 bilion. Peruntukan pada kali ini melihat peningkatan sebanyak RM3.5 bilion berbanding RM55.2 bilion bagi tahun 2023. Ini merangkumi pelan menaik taraf dan menyelenggara bangunan sekolah di seluruh negara, membina 26 buah sekolah baharu, dan membina 18 blok Pendidikan Khas baharu.

kpm

Ketiga, Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan dari 6 peratus kepada 8 peratus pada tahun hadapan. Namun, untuk mengurangkan beban rakyat Malaysia, peningkatan kadar ini tidak akan melibatkan perkhidmatan food and beverage (F&B), serta perkhidmatan telekomunikasi. Ini merupakan salah satu langkah dalam inisiatif Reformasi Percukaian selaras dengan teras Ekonomi MADANI untuk meluaskan asas hasil negara.

fnb

Keempat, Kerajaan juga akan melaksanakan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus bermula 1 Mac 2024. 

bursa

Kelima, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan suatu penggubalan undang-undang baharu untuk melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi pada kadar 5.0 peratus sehingga 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas, dan jam tangan berdasarkan nilai ambang yang sudah ditentukan. 

luxurygoodstax

Keenam, selaras dengan usaha kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat, Perdana Menteri telah mengumumkan pemberian bayaran insentif awal sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak sementara menunggu Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal dilaksanakan menjelang penghujung 2024.

penjawatawam

Ketujuh, Belanjawan 2024 juga akan memberikan bayaran insentif sebanyak RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam yang melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata, dan seluruh anggota beruniform. Selain itu, pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen turut akan menikmati manfaat bayaran insentif RM1,000 tersebut. Bayaran ini akan dibuat secara sekaligus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal.

uniform

Kelapan, Kerajaan terus komited menjaga kebajikan warga orang kurang upaya (OKU) melalui peruntukan sebanyak RM1.2 bilion. Peruntukan ini akan meliputi peningkatan kadar elaun pelatih OKU Program Pemulihan Dalam Komuniti, penjagaan OKU kronik terlantar, OKU tidak upaya bekerja, dan elaun pekerja OKU. Selain itu, kerajaan juga akan menyediakan kemudahan pembiayaan khas oleh Bank Simpanan Nasional untuk usahawan mikro OKU.

oku

Kesembilan, Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) juga menerima peruntukan bernilai RM333 juta untuk pelaksanaan, penyediaan kemudahan dan infrastruktur, pertanian, masalah bekalan air, serta prasarana bagi menaik taraf kehidupan golongan Orang Asli. Peruntukan yang baru sahaja diumumkan ini juga melihat peningkatan sebanyak RM28 juta berbanding RM305 juta untuk tahun ini. 

orangasli

Kesepuluh, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan peningkatan peruntukan pembangunan kepada Sabah dan Sarawak yang masing-masing bernilai RM6.6 bilion dan RM5.8 bilion selaras dengan usaha Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Selain itu, Sabah dan Sarawak turut menerima peningkatan kadar pemberian khas interim kepada RM300 juta.

sabahsarawak

Recommended Posts