18 Mac: Ulang tahun berganda buat DAP

Oleh Lim Kit Siang

(Ahli Parlimen Iskandar Puteri dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Kebangsaan)

Adalah menjadi suatu penghormatan yang besar bagi DAP pada hari sebelum Ulang Tahun ke-55 kami, Karpal Singh yang turut dikenali sebagai Harimau Jelutong, yang merupakan Pengerusi DAP Kebangsaan (2004-2014) dan Ahli Parlimen DAP (1978 – 2014) telah dianugerahkan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran “Datuk Seri Utama” sempena Sambutan Ulang Tahun ke-82 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, atas jasanya kepada rakyat Malaysia dan negara. Isteri Karpal, Gurmit Kaur telah menerima anugerah tersebut bagi pihak mendiang suaminya.

DAP telah melalui pelbagai pahit getir sejak parti ini didaftarkan oleh pada 18 Mac 1966.

Kita telah mengharungi jatuh bangun, menempa pelbagai pencapaian dan menempuh pelbagai rintangan, namun matlamat kami tetap sama sejak 55 tahun yang lalu — untuk mewujudkan sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan kepelbagaian kaum, bahasa, agama, budaya dan peradaban yang bertemu di Malaysia untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.

DAP bermula sebagai parti yang sangat muda. Saya menjadi Setiausaha Agung DAP ketika berusia 28 tahun semasa dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Muar pada tahun 1969.

DAP bertanding dalam pilihan raya pertama kami, yang menyaksikan tiga orang daripada 13 calon DAP yang berusia di bawah 30 tahun menyertai Parlimen.

Pada setiap pilihan raya, kita ada Ahli Parlimen yang berusia di bawah 30 tahun, antaranya Pengerusi DAP Tan Kok Wai (Sungai Besi) pada tahun 1986 dan Fong Poh Kuan (Batu Gajah) pada tahun 1999, dan juga meletakkan para pemimpin muda untuk memegang jawatan-jawatan politik yang penting — seperti Yeo Bee Yin, Anthony Loke dan Gobind Singh Deo dalam Kabinet, Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang di Pertua Parlimen, Teo Nie Ching, Chong Chieng Jen, Hannah Yeoh dan Steven Sim Chee Keong sebagai Timbalan Menteri, Wong Kah Woh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Kelvin Yii sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk Kesihatan, Sains dan Inovasi, Zairil Khir Johari, Howard Lee, Ean Yong Hian Wah, Kerk Chee Yee, Saminathan Ganesan dan Liow Chai Tung sebagai Exco dan Phoong Jin Zhe sebagai Menteri Negeri Sabah. 

Karpal telah menyertai DAP sebelum beliau berusia 30 tahun dan mengabdikan diri dalam perjuangan seumur hidupnya untuk mengangkat perpaduan negara, keadilan, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, integriti awam, kesederhanaan, kemajuan dan kemakmuran demi Malaysia.

Seperti yang saya katakan pada April 2014, dalam ucapan saya sebagai penghormatan terakhir kepada Karpal atas pemergian beliau yang terlalu awal, sebagai seorang pemimpin yang dianggap sebagai pejuang keadilan dan demokrasi yang tidak kenal penat lelah:

“Dalam empat dekad kehidupannya, terutama dalam bidang undang-undang dan politik, Karpal tidak pernah membiarkan kuasa dan kedudukan atau perbicaraan dan penderitaan peribadinya — termasuklah pengalaman beliau dengan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di bawah Operasi Lalang pada tahun 1987 dan penganiayaan di bawah Akta Hasutan serta ancaman hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, untuk melemahkan semangatnya untuk menegakkan keadilan, kedaulatan undang-undang dan demokrasi.

“Dengan pemergian Karpal, satu sinar harapan telah terpadam di Malaysia.

“Namun, penghormatan terbaik untuk Karpal adalah dengan mencambahkan lagi sinar harapan ini, menyuntik harapan untuk Malaysia dalam soal keadilan, kedaulatan undang-undang dan demokrasi.”

Tidak ramai saudara seperjuangan daripada kalangan generasi pertama pemimpin DAP yang masih ada yang mampu untuk meneruskan misi DAP sejak 55 tahun yang lalu — Dr. Chen Man Hin, Fong Kui Lun, Chan Fu King – tetapi DAP telah dianugerahkan dengan ramai pemimpin yang hebat, sama ada lelaki mahupun wanita yang bejiwa patriotik dan idealis dari semua kaum dan agama, yang berjuang demi Malaysia antaranya P. Patto, Peter Dason, Lau Dak Kee, Ahmad Nor, Ibrahim Singgeh, Fadzlan Yahya, Ahmad Ton, Chian Heng Kai , Chan Kok Kit, Lim Cho Hock, SA Mary, Tan Chooi Sui, Loke Swee Chin dan ramai lagi.

Semasa DAP bermula, kami berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara hebat bertaraf dunia — fikiran untuk menjadi Ahli Parlimen, ADUN, atau membentuk kerajaan di peringkat negeri mahupun persekutuan tidak pernah terlintas dalam fikiran kami. Kini, ramai yang berpolitik hanya untuk menjadi seorang YB. 

Kita harus kembali kepada idealisme dan semangat untuk memastikan terdapatnya keadilan, kebebasan, integriti dan perpaduan, kemajmukan dan kecemerlangan di Malaysia seperti pada zaman awal DAP.

Kita perlu belajar daripada pengalaman dan kesilapan perjuangan politik kita, terutamanya daripada sepanjang 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan ketika kita menyangka kita mempunyai masa lima tahun untuk memenuhi janji pilihan raya kita kepada rakyat Malaysia.

Pengakhiran pentadbiran Pakatan Harapan adalah suatu kemunduran besar dan ramai rakyat Malaysia telah hilang harapan untuk melihat perubahan dan kemajuan di Malaysia.

Tetapi kita yang berada dalam DAP tidak boleh menyerah kalah dan putus asa, kita perlu kekal berada di barisan hadapan untuk memperjuangkan impian untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan untuk mengelakkan negara kita terjerumus ke dalam jurang kleptokrasi, kakistokrasi dan negara yang gagal.

Cabaran terbesar generasi baharu pemimpin DAP adalah untuk memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, wilayah atau politik, dan memberi semangat kepada rakyat Malaysia dengan kepercayaan bahawa kemunduran negara, di mana semakin banyak negara mengalahkan kita dalam pelbagai bidang usaha yang diceburi manusia, dapat dihentikan dan Malaysia dapat menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.

18 Mac adalah ulang tahun berganda — kerana tarikh ini juga menandakan ulang tahun pertama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan akibat wabak Covid-19.

Malapetaka ini menjadi satu ujian besar terhadap perpaduan dan ketahanan negara kita.

Mungkin Malaysia tidak akan melalui gelombang kedua wabak Covid-19 dan gelombang ketiga yang merupakan gelombang penularan yang terpanjang di dunia sekiranya Langkah Sheraton yang secara rakus menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari tahun lalu tidak berlaku.

Bagaimanapun, tidak ada keraguan bahawa terdapat defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan sejak tahun lepas ekoran wujudnya masalah “Dua Darjat” dalam pelaksanaan SOP dan misteri seorang Timbalan Menteri dikatakan “melarikan diri” ke luar negara.

Masalah yang perlu diselesaikan sekarang adalah untuk mengurangkan dan menyelesaikan masalah defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat di negara ini.

Pengumuman Perdana Menteri semalam mengenai Kempen Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan dipercepatkan dan akan diselesaikan menjelang bulan Disember dan bukannya pada bulan Februari 2022 adalah adalah satu langkah yang tepat, tetapi dengan lebih banyak vaksin tersedia dalam pasaran global ketika ini, saya menggesa pihak berkuasa untuk mempercepatkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan menjayakannya menjelang waktu sambutan Hari Kebangsaan – Hari Malaysia di antara 31 Ogos ke 16 September 2021 supaya ekonomi dapat dipulihkan dan kehidupan rakyat dapat kembali normal secepat mungkin.

Keputusan Kabinet untuk memperkenalkan sistem denda tiga peringkat dengan proses rayuan dan dalam masa sama mengekalkan kompaun RM10,000 di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 untuk sebarang pelanggaran SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah perkara yang paling mengecewakan.

Menurut Menteri Undang-undang, Takiyuddin Hassan, bagi kesalahan dalam kategori “normal” — seperti tidak memakai topeng muka dengan betul — kompaun RM1,500 akan dikenakan.

Sebagai contoh kesalahan kategori “tinggi”, beliau berkata, mereka yang berada di pub atau kelab malam akan dikenakan kompaun maksimum RM10,000.

Takiyuddin berkata, mereka yang memilih untuk membayar kompaun dalam masa tujuh hari layak mendapat potongan 50 peratus, sementara mereka yang membayar dalam masa 14 hari akan mendapat potongan 25 peratus.

Adakah Kabinet Muhyiddin sedang berusaha membunuh operasi pub, kelab malam dan restoran, sedangkan semua perniagaan sedang bergelut dengan krisis yang belum pernah dihadapi sebelum ini yang dibawa oleh wabak Covid-19?

Undang-undang darurat berhubung pelanggaran PKP dan SOP sedia ada terlalu menekan, tidak berpatutan, tidak masuk akal dan tidak adil, terutama apabila pihak berwajib sewajarnya sedar bahawa masalah utama hari ini adalah untuk mengurangkan dan menyelesaikan masalah defisit kepercayaan dan keyakinan masyarakat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin berkata semalam bahawa Putrajaya merancang untuk tidak mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara menyeluruh, sebaliknya melaksanakannya mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja bagi mengurangkan impak terhadap ekonomi. 

Pun begitu, pengumuman tersebut dilihat tidak selari dengan keputusan Kabinet berhubung ordinan darurat yang menjatuhkan hukuman yang kmenekan, tidak berpatutan, tidak masuk akal dan tidak adil kepada orang ramai.

Ordinan darurat ini harus ditangguhkan dan Kabinet harus mempertimbangkan lagi untuk menghapuskan ciri-ciri yang menekan, tidak berpatutan, tidak masuk akal dan tidak adil dalam undang-undang berkenaan.

Recommended Posts