Pendidikan diutamakan di Iskandar Puteri: Membantu pelajar tercicir kembali ke sekolah

456379623 1052989492849821 4620660527102104921 n

Walaupun Parlimen Iskandar Puteri terletak dalam kawasan bandaraya Greater Johor Bahru, ia tidak bererti segala-galanya indah belaka. Antara masalah yang perlu ditangani adalah keciciran pelajar, khususnya di peringkat sekolah menengah, kerana usia ini amat penting dalam menuju alam dewasa.

Ada pelajar yang berhenti sekolah kerana terpaksa bekerja untuk membantu menampung perbelanjaan keluarga, atau tidak mampu membayar kos pengangkutan ke sekolah, atau perlu menjaga ahli keluarga yang menghidapi penyakit kronik.
Kemiskinan adalah punca utama masalah keciciran sekolah, malah lebih teruk apabila ia melibatkan kemiskinan bandar kerana tekanan kos sara hidup yang tinggi.

Keciciran pendidikan boleh menyebabkan golongan pelajar ini ketinggalan dalam pendidikan, tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus tidak mempunyai sijil akademik asas sehingga menjejaskan peluang pekerjaan mereka.

Baru-baru ini, Sdr Tan Soon Guan, Ketua Pejabat Ahli Parlimen Iskandar Puteri telah mengadakan perjumpaan dengan Tuan Haji Saliman bin Selamat, Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru untuk membincangkan cara-cara membantu para pelajar ini.

Melalui kerjasama pejabat saya dengan Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, kami telah memulakan program “Kembali ke Sekolah” bagi membantu kira-kira 80 pelajar tercicir untuk hadir semula ke sekolah.

Fasa pertama program ini selama tiga bulan menyediakan makanan percuma, subsidi pengangkutan, serta subsidi pembelian buku, alat tulis, dan bahan pembelajaran lain kepada pelajar yang telah dikenal pasti.

Saya berharap melalui program kecil ini ia dapat membantu pelajar tercicir kembali ke sekolah bagi meneruskan pembelajaran mereka, sekurang-kurangnya memastikan mereka mendapat keputusan SPM yang baik.

Tentunya kita juga akan turut bergembira jika ada antara pelajar ini mendapat keputusan SPM cemerlang yang akan membuka jalan kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Sama-samalah kita membantu mereka yang memerlukan

LIEW CHIN TONG
Ahli Parlimen Iskandar Puteri

Recommended Posts