Abdul Hadi Awang Dan Muhyiddin Yassin Perlu Menyatakan Pendirian Mereka Mengenai Pembohongan Siti Mastura Terhadap Lim Kit Siang, Saya Dan DAP

guaneng111022 nstfield image socialmedia.var 1665472652

Saya telah melantik Datuk Sankara Narayanan Nair sebagai peguam saya untuk memulakan prosiding undang-undang dan tindakan jenayah terhadap Ketua Ameerah PAS Malaysia dan Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura atas ucapan kebenciannya terhadap saya yang penuh dengan pembohongan dan fitnah jahat. Siti Mastura membuat ucapan kebencian itu di sebuah program Ameerah PAS di Kemaman pada 4 November lalu, sarat dengan pembohongan dan fitnah jahat iaitu:

– Tan Sri Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng merupakan sepupu kepada pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng;

– Tan Sri Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng merupakan sepupu kepada mantan Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew;

– Lee Kuan Yew juga turut dinamakan sebagai Lim Kuan Yew untuk menyokong pembohongan Siti Mastura bahawa Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Lee Kuan Yew dan Chin Peng kesemuanya adalah sepupu;

– Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seputih Teresa Kok merupakan sepupu kepada Betty Chew, isteri Lim Guan Eng;

– Beberapa pimpinan DAP yang lain turut dikatakan mempunyai pertalian saudara dengan Tan Sri Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng iaitu Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri KPKT Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham dan juga Teresa Kok.

– Memfokuskan sistem pengkaderan DAP dan membayangkan ia tertumpu kepada sebuah keluarga Cina untuk menekankan fikrah DAP (idea ataupun cara) yang merangkumi kedua-dua Singapura dan Malaysia.

Beliau secara terang-terangan menggunakan hubungan kekeluargaan yang sebenarnya tidak wujud, hanya untuk menimbulkan ketakutan terhadap kedua-dua DAP dan orang Cina, adalah jelas bersifat perkauman dan ekstremis. Apa yang membuatkan kelakuan Siti Mastura yang tidak bertanggungjawab ini menjadi lebih teruk ialah tiada langsung sebarang rasa sesal daripada beliau bahawa ucapannya penuh dengan kebencian dengan pembohongan, bersifat perkauman dan ekstremis. Beliau enggan menunjukkan bukti mengenai dakwaan hubungan kekeluargaan tersebut malah tidak langsung menarik balik atau memohon maaf di atas pembohongan dan fitnah jahatnya.

Turut mengesankan bagaimana sikap penyokong PAS yang memuji Siti Mastura, hanya kerana pembohongan beliau telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan pemimpin dan penyokong DAP, serta rakyat Malaysia. Penyokong PAS langsung tidak mempedulikan fakta bahawa beliau sebenarnya telah berbohong atau membuat kenyataan berbaur perkauman dan ekstremis selagi kenyataan tersebut menentang pemimpin DAP.

Atas sebab-sebab yang saya nyatakan ini, kedua-dua Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PN Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin mesti menyatakan pendirian mereka secara terbuka sama ada mereka turut menyokong pembohongan keterlaluan dan fitnah jahat yang dilemparkan oleh Siti Mastura, atau tidak bersetuju dengan fitnah jahat ini dan meminta agar beliau menarik balik fitnah tersebut.

LIM GUAN ENG

Recommended Posts