Adakah Sekolah-Sekolah Kerajaan Lain Di Semenanjung Malaysia Boleh Mengikuti Jejak Langkah Dua Buah Sekolah Elit Dengan Memohon Untuk Menjalankan Kelas DLP Di Dalam Bahasa Inggeris Untuk Matematik Dan Sains?

guaneng111022 nstfield image socialmedia.var 1665472652

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim, di dalam surat beliau kepada Editor Free Malaysia Today bertarikh 7 Jun 2024, memohon Program Dwi Bahasa (DLP) dalam Bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik dengan menyatakan perkara-perkara seperti berikut. ,

“Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan garis panduan DLP yang kononnya baharu dan ditambah baik iaitu – Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan (Bil.) 5 Tahun 2024: Garis Panduan Pelaksanaan DLP bertarikh 19 Mac 2024 – yang mana menggantikan semua garis panduan terdahulu.

Klausa 12.2.8 telah ditambah pada garis panduan baharu yang menyatakan bahawa Tahun Satu dan Tingkatan Satu mesti mempunyai satu kelas wajib yang bukan DLP. Sama ada ibu bapa menginginkannya untuk anak mereka atau tidak adalah tidak relevan. Hasrat ibu bapa, yang berdasarkan semangat asal DLP, telah diabaikan dan dibatalkan secara terang-terangan. Hasrat Menteri dilihat mengatasi semua yang lain.

Manakala dua buah sekolah elit, iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar (bekas sekolah bagi Perdana Menteri) dan Kolej Tunku Kurshiah (bekas sekolah bagi isteri Perdana Menteri) pula boleh mengabaikan fasal 12.2.8 dan meneruskan status quo seperti yang telah berlaku dari permulaan.

Garis panduan baharu ini juga secara jelas telah mengecualikan Sarawak, yang dapat mengekalkan SPI KPM Bil. 7 Tahun 2019: Pelaksanaan DLP Sarawak Mulai Tahun 2020. Ia secara eksklusif membenarkan semua sekolah rendah di Sarawak bagi menjalankan DLP sepenuhnya sejak tahun 2020 lagi, yang bermaksud bahasa pengantar semua kelas sains dan matematik ialah Bahasa Inggeris.

Sarawak adalah satu-satunya negeri di mana Jabatan Pendidikan Negeri, dengan sokongan penuh oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), mendapat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan di peringkat persekutuan untuk berbuat demikian.

Pada Mac 2024, Kementerian Pendidikan “mengesahkan tiada rancangan untuk memperuntukkan lebih banyak dana untuk menjalankan DLP pada masa hadapan”. MEITD, bagaimanapun, mendedahkan pada April bahawa Sarawak telah diberikan dana sebanyak RM18 juta untuk pelaksanaan DLP.”

Setakat ini, Kementerian Pendidikan belum lagi mengesahkan ataupun menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Noor Azimah. Segelintir masyarakat akan berasa kecewa dengan kebenaran dan pembiayaan khas sebanyak RM 18 juta yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan kepada Sarawak untuk mengendalikan kelas DLP dalam Bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik, biarpun ianya merupakan sebahagian daripada beberapa autonomi yang diberikan menurut Perjanjian Malaysia 1963.

Namun, apa yang menimbulkan kemarahan ialah pendedahan Noor Azimah bahawa dua buah sekolah elit di Semenanjung Malaysia yang telah melahirkan ramai pegawai kanan kerajaan dan pemimpin dunia korporat iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Kolej Tunku Kurshiah berhasrat untuk tidak mengendahkan arahan terbaru Kementerian Pendidikan dan terus menjalankan DLP bagi kelas dalam Bahasa Inggeris untuk Matematik dan Sains.

Oleh yang demikian, adakah mungkin sekolah-sekolah kerajaan lain di Semenanjung Malaysia mengikuti apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua sekolah elit ini dengan memohon untuk mengendalikan kelas DLP dalam Bahasa Inggeris untuk Matematik dan Sains? Hanya dengan keadilan dan kesaksamaan dapat melahirkan kesimpulan yang rasional dan logik.

LIM GUAN ENG

Recommended Posts