KUALA LUMPUR, 12 MAC: 70 orang ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) menandatangani satu usul khusus bagi membahaskan penghakiman lima hakim dalam kes fitnah liwat II Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini.
Usul khusus itu sudah diberikan kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Pandikar Amin dan masih menunggu keizinan darinya.
Mempersembahkan tiga hujah besar, usul itu menyifatkan keputusan yang diambil lima hakim kes Anwar Ibrahim adalah luar biasa dan tidak disokong oleh undang-undang di samping mengatakan keputusan itu telah ditolak oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa.
Sehubungan usul itu, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke berkata kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini bahawa usul ini penting dan Pakatan Rakyat komited ingin membahaskannya di sidang Parlimen.
“Kami, seluruh ahli parlimen PR, harap Speaker Dewan izinkan pembahasan isu penghakiman tidak berdasarkan fakta kelima-lima hakim pendakwaan Anwar Ibrahim yang diketuai Tun Ariffin Zakaria itu.
“Kita akan guna peruntukan yang ada dalam peraturan mesyuarat bagi menyuarakan soal yang libatkan hakim-hakim kes Anwar yang banyak menimbulkan keraguan dalam penghakiman,” ujar beliau.
Anwar Ibrahim dipenjarakan sudah lebih sebulan apabila penghakiman kelima-lima hakim menjatuhkan hukuman lima tahun penjara pada 10 Februari lalu. Namun, penghakiman itu telah dicemuh bukan sahaja dari masyarakat tempatan malah oleh badan masyarakat antarabangsa, termasuk Suruhanjaya Pengamal Undang-undang Antarabangsa(ICJ), Kesatuan Antara Parlimen(IPU), Amnesty International, LAWASIA dan Human Right Watch.
“Isu Anwar penting untuk dibahaskan di dalam Dewan Rakyat, kerana ia melibatkan Ketua Pembangkang dalam dewan.
“Bukan itu saja, masyarakat antarabangsa juga sudah mula mencemuh negara ekoran penghakiman yang tidak berdasarkan fakta itu dan tidak munasabah,” ujar Anthony lagi.
Mengikut undang-undang mesyuarat Dewan Rakyat, sesuatu usul yang ditandatangani oleh suku daripada seluruh ahli parlimen, usul pembahasan boleh diizinkan oleh Speaker Dewan. -Roketkini.com